Kesal ada 'pembekal' cuba menipu

Sukarelawan memunggah barangan kelengkapan perlindungan diri yang diterima daripada pembekal di Pusat Operasi Sinar Untuk Frontliners Covid-19 di Kumpulan Karangkraf.
Sukarelawan memunggah barangan kelengkapan perlindungan diri yang diterima daripada pembekal di Pusat Operasi Sinar Untuk Frontliners Covid-19 di Kumpulan Karangkraf.
A
A
A

SHAH ALAM - Sukarelawan Tabung Bantuan Frontliners Covid-19 (CovidSinar) kesal kerana ada pihak cuba menangguk di air yang keruh apabila cuba menipu mereka dari segi penyediaan bekalan keperluan kepada petugas barisan hadapan.

Penyelaras Tabung CovidSinar, Auzani Fikry berkata, sejak tabung itu dilancarkan pada 21 Mac lalu hingga kini lebih lima kali pihaknya cuba ditipu.

"Minggu ini sahaja tiga kali kami cuba ditipu oleh pihak yang dakwa mereka pembekal barangan keperluan petugas barisan hadapan.

"Mereka hubungi kami kata ada stok dan minta buat pembayaran namun kami cakap bayaran hanya dibuat selepas kami dapat bekalan," katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Katanya, bekalan yang ditempah tidak tiba dan apabila mereka melakukan pemeriksaan, alamat pembekal yang diberikan tidak wujud.

"Sekarang kami ambil langkah berhati-hati kerana duit yang diterima daripada Tabung CovidSinar adalah hasil sumbangan orang ramai yang prihatin.

"Jadi kami wajib pastikan setiap sen sumbangan itu dapat disalurkan sepenuhnya kepada petugas barisan hadapan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Hand sanitizer merupakan salah satu barangan yang diserahkan kepada petugas barisan hadapan di klinik-klinik kesihatan yang memerlukan.
Hand sanitizer merupakan salah satu barangan yang diserahkan kepada petugas barisan hadapan di klinik-klinik kesihatan yang memerlukan.

Katanya, bagaimanapun situasi itu tidak mematahkan semangat sukarelawan Tabung CovidSinar untuk terus mengedarkan barangan keperluan seperti topeng muka, sarung tangan, hand sanitizer, alat perlindungan diri (PPE), alat pengimbas suhu badan, dan khemah kepada klinik kesihatan yang memerlukan.

"Situasi itu adalah antara cabaran yang sukarelawan terpaksa hadapi sekarang. Adanya pihak yang tidak bertanggungjawab ini, kita kekurangan bekalan untuk edaran sejak beberapa hari lepas," katanya.

Berikutan itu, Auzani berkata, pihaknya tidak teragak-agak untuk membuat laporan polis jika masih ada pihak yang berterusan mahu mengambil kesempatan dengan cuba menipu mereka selepas ini.

Menurutnya, pihaknya merancang mengedarkan lebih 1,000 topeng muka kepada klinik kesihatan di Petaling Jaya hari ini.

Sinar Harian mengaktifkan Tabung CovidSinar bagi membolehkan rakyat di negara ini tampil bersama-sama membantu barisan hadapan dalam mengumpulkan dana kelengkapan perlindungan diri dan makanan.

Usaha tersebut bertujuan meringankan beban kumpulan terbabit dalam memerangi Covid-19 dan setiap sumbangan daripada segenap rakyat Malaysia akan disalurkan terus kepada barisan hadapan yang memerlukan.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank Sinar Karangkraf bernombor 514271254025 dan sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan menerusi talian 019-6680920 (pesanan ringkas WhatsApp sahaja). #SinarUntukFrontlinersCovid #rakyatbanturakyat #kitalahmalaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!