Kunjungi pasar raya 'berdua'!
KUALA TERENGGANU - Walaupun tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) akan memasuki fasa kedua bermula esok, masih ada individu yang berdegil dengan keluar pasar raya berdua bersama pasangan.
Tinjauan Sinar Harian di beberapa pasar raya di negeri ini mendapati masih terdapat individu yang keluar bersama pasangan atau berdua bagi membeli barangan keperluan harian.
Malah hal yang sama iaitu pelanggaran arahan PKP turut dikesan berlaku di sebuah pusat membeli-belah di sini dan telah dirakam serta dikongsi menerusi media sosial Facebook semalam.
Kebanyakan netizen meluahkan rasa kesal dan marah terhadap tindakan itu memandangkan ia telah diberitahu berulang kali menerusi pelbagai saluran media iaitu hanya seorang sahaja dibenarkan keluar membeli barangan bagi setiap keluarga.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Terengganu, Leftenan Kolonel (PA) Che Adam A Rahman berkata, arahan supaya hanya seorang mewakili sebuah keluarga untuk keluar mencari keperluan adalah bertujuan untuk meminimumkan pergerakan sekali gus membantu dalam memutuskan rantaian penyebaran virus koronavirus (Covid-19).
"Sepanjang tempoh PKP, semua individu dikehendaki untuk berada di rumah masing-masing hanya seorang atau ketua isi rumah sahaja yang dibenarkan untuk membeli barangan keperluan.
"Kita juga diingatkan untuk peka dengan arahan pihak berkuasa dengan menjaga jarak sosial antara satu sama lain sekurang-kurangnya satu meter ketika berada di lokasi tumpuan ramai.
"Selain itu pemakaian peralatan melindungi diri seperti penutup hidung dan mulut dan penjagaan kebersihan juga penting sepanjang tempoh ini. Lebih elok sebaik pulang dari pasar raya, segera cuci tangan terlebih dahulu kerana kita mungkin tidak sedar apa yang kita telah pegang," katanya.
Dalam pada itu, Che Adam berkata, masyarakat juga dinasihatkan untuk tidak membuat pembelian panik kerana barangan keperluan yang berada di pasaran adalah mencukupi.
"Berdasarkan maklumat daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), bekalan makanan dan barangan keperluan adalah mencukupi.
"Jadi kita tidak perlu membeli barangan dengan terlalu banyak dalam satu-satu masa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!