Pemakanan sihat, cukup tidur kurangkan tekanan dalam tempoh PKP

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SHAH ALAM - Pemakanan sihat dan seimbang merupakan antara amalan yang diperlukan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengelak kesan psikologi jangka panjang akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

Selain itu, masyarakat juga digalakkan bersenam, mendapatkan tidur yang cukup, mengurangkan pengambilan minuman berkafein serta mengelakkan pengambilan alkohol, rokok dan dadah.

Setiausaha Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA), Dr Firdaus Abdul Gani berkata, impak psikologi akibat pandemik telah lama dikenal pasti.

Menurutnya, terdapat banyak kajian mengenai gejala kegemuruhan, kemurungan, stres dan kecelaruan stres pasca trauma akibat pandemik.

"Oleh itu, satu mekanisme yang baik diperlukan untuk menangani tekanan bagi mengelakkan kesan psikologi jangka panjang. Jadi kami ingin menekankan kepada orang ramai mengenai kepentingan penjagaan diri.

"Orang ramai juga dinasihatkan agar meneruskan jadual atau rutin harian yang teratur serta berehat secukupnya.

"Teknik relaksasi seperti kawalan pernafasan, mendengar muzik serta relaksasi otot dapat membantu mengurangkan rasa gemuruh," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah beliau, rasa gemuruh juga dapat dikurangkan dengan menghadkan masa bersama media termasuk media sosial.

Artikel Berkaitan:

"Mengurangkan waktu menonton, membaca atau mendengar berita mengenai pandemik juga boleh membantu mengurangkan tekanan. Pastikan bahawa sumber berita tersebut adalah sahih serta elakkan penyebaran berita palsu," katanya.

Firdaus berkata, masyarakat juga boleh terus berhubung dengan sahabat dan keluarga melalui telefon atau media sosial untuk mengelakkan rasa terasing dan merancang aktiviti bersama serta belajar dalam talian mempunyai impak positif kepada kesihatan mental.

Bagi kanak-kanak pula katanya, jadual yang teratur melibatkan aktiviti pembelajaran, riadah serta rehat dapat membantu mengatasi kebosanan mereka berada di rumah setiap masa.

"Jawab persoalan serta kongsi fakta dengan anak–anak dalam bentuk yang mudah dan boleh difahami. Yakinkan mereka mengenai keselamatan mereka serta langkah-langkah pencegahan yang perlu diamalkan," katanya.

Dalam masa sama, beliau berkata, warga emas, pesakit kronik serta mental merupakan mereka yang mudah terkesan dan memerlukan perhatian yang lebih ketika ini.

Justeru, pesakit yang memerlukan bekalan ubat-ubatan secara berterusan dan mempunyai pemeriksaan susulan berjadual disaran menghubungi hospital setempat mengenai khidmat yang masih ditawarkan

Bagi mereka yang tertekan sepanjang tempoh PKP, turut digalakkan menggunakan khidmat sokongan psikososial secara dalam talian yang disediakan Kementerian Kesihatan dan agensi berkaitan.

Khidmat psikososial disediakan Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Mercy Malaysia boleh dicapai di talian 03-29359935, 011-63996482, 011-63994236 manakala Befrienders boleh dihubungi di talian 03-79568145.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!