46 lagi individu ingkar PKP di Sarawak ditahan polis

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Sebanyak 46 individu lagi ditahan kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh Sarawak dalam operasi yang dijalankan bermula jam 8 pagi semalam sehingga 8 pagi hari ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Dev Kumar M M Sree berkata, dengan penahanan itu, ia menjadikan jumlah keseluruhan yang ditahan kerana melanggar PKP di negeri ini sejak seminggu lalu meningkat kepada 276 orang.

“Miri mencatat jumlah tertinggi dengan 12 orang diikuti Kuching (sembilan), Sibu (lapan), Saratok (tiga), Padawan (dua), Kota Samarahan (dua), Sri Aman (dua), Limbang (dua), Dalat (dua), Bintulu (satu), Serian (satu), Lawas (satu) dan Sarikei (satu),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Dev Kumar berkata, jumlah individu yang dituduh di mahkamah kerana melanggar perintah itu sehingga kini sebanyak 83 orang.

“Bagi jumlah orang yang dituduh, Sibu menjadi daerah paling tinggi dengan 31 orang diikuti Padawan (13 orang), Miri (tujuh), Dalat (tujuh), Sarikei (enam), Lawas (enam), Matu Daro (enam), Kuching (empat), Kota Samarahan (dua) dan Bintulu (satu),” katanya.

Mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempat Jangkitan) 2020 yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun dan denda RM10,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!