Kesal kerajaan turun harga siling topeng muka tanpa notis
KUALA LUMPUR - Tiga persatuan farmasi utama di Malaysia kesal dengan keputusan kerajaan menurunkan harga siling topeng muka tiga lapisan kepada RM1.50 tanpa memberi sebarang notis awal atau merujuk kepada pihak berkepentingan terlebih dahulu.
Persatuan Farmaseutikal Malaysia, Persatuan Farmaseutikal Sarawak dan Persatuan Farmaseutikal Sabah dalam satu kenyataan berkata, di sebalik kebimbangan harga topeng muka kini melampaui harga siling, keputusan terkini kerajaan dianggap tidak adil kepada komuniti ahli farmasi seluruh negara.
Menurutnya, pada 21 Mac lalu, kerajaan mengumumkan harga siling bagi topeng muka tiga lapisan adalah RM2 dan ia menyebabkan ramai pengusaha farmasi untuk melakukan tempahan awal pada kadar harga siling itu.
"Bagaimanapun, hanya selepas sembilan hari diumumkan, harga siling topeng muka dikaji semula dan penurunan harga siling secara mengejut akan memberi kesan negatif dalam kalangan komuniti pengusaha farmasi, pengimport, pemborong dan pengilang seluruh negara.
ARTIKEL BERKAITAN: PKP: Harga siling topeng muka RM1.50
"Pihak kami percaya, kerajaan sebenarnya menyedari topeng muka tidak boleh diperoleh pada harga 80 sen sekeping, sekali gus menyebabkan berlaku kenaikan kepada RM2," kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.
Wakil tiga persatuan farmasi itu turut menuntut kerajaan memberi subsidi kepada farmasi-farmasi yang bakal berdepan kerugian akibat penurunan harga siling topeng muka atau memberikan mereka tempoh pengecualian selama sebulan untuk menghabiskan stok mereka.
Menurutnya, analisis pasaran dan maklum balas diterima menunjukkan apabila harga siling topeng muka dinaikkan kepada RM2 sebelum ini, kebanyakan komuniti farmasi mengambil tempahan pada harga kos yang sedikit rendah berbanding RM2.
"Ramai kalangan kami sudah membayar penuh atau deposit 50 peratus untuk bekalan-bekalan yang hanya akan sampai pada April ini.
"Penurunan harga siling kepada RM1.50 amat mengejutkan kami dan di negeri Sabah dan Sarawak, kos pemerolehannya masih sangat tinggi susulan caj pengangkutan dikenakan meskipun cukai jualan dan import sudah tiada," katanya.
Berikutan itu, tiga persatuan farmasi utama negara itu merayu kerajaan mengumumkan pelanjutan tempoh penukaran harga siling topeng muka sekurang-kurangnya sebulan bagi menjaga kebajikan komuniti farmasi.
Menurutnya, kerajaan harus menyedari kebanyakan komuniti farmasi tidak pernah berhasrat meraih keuntungan daripada penjualan topeng muka, sebaliknya memastikan bekalannya sentiasa mencukupi demi kepentingan rakyat.
"Keputusan mengejut penurunan harga siling topeng muka dibimbangi akan menyebabkan keputusan bekalan, sekali gus memberi ruang kepada pasaran gelap untuk menjualnya pada harga jauh lebih tinggi.
"Selain itu, kami juga amat menghargai sekiranya kerajaan dapat menyenaraikan syarikat tempatan atau antarabangsa yang berpotensi untuk membekalkan topeng muka pada harga bawah RM1.50 atau membantu kami dalam membeli bekalan dalam jumlah sangat besar," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!