Peruntukan RM2 bilion untuk kontraktor diharap diagih secara telus
KUALA TERENGGANU - Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (Perkobf) Malaysia cawangan Terengganu berharap peruntukan sebanyak RM2 bilion bagi kontraktor G1 hingga G4 diagih secara telus melalui sistem undian.
Yang Dipertuanya, Che Lok Yusof berkata, ia bagi memastikan supaya agihan bagi projek kecil infrastruktur itu dilakukan secara adil.
"Dengan peruntukan ini, pihak kami berharap ia dapat diagihkan secara telus melalui sistem undian.
"Maksimum nilaian satu kerja undi RM100,000 untuk mana-mana jabatan.
"Jika berdasarkan sistem sebut harga yang diguna pakai sekarang, ramai kontraktor mengumpul lesen untuk masuk satu sebut harga (sistem cut-off)," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) 27 Mac lalu memberitahu sebanyak RM2 bilion diperuntukkan kepada kumpulan kontraktor itu.
Katanya, ia merangkumi meningkatkan kemudahan pelancongan yang akan memanfaatkan kontraktor kelas G1 hingga G4.
Beliau berkata, kerajaan mengenal pasti beberapa projek kecil untuk dilaksanakan seperti menambah baik jalan, menaik taraf sekolah daif di Sabah dan Sarawak, selain membersihkan rumah ibadat serta balai polis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!