Hilang di Kuala Lumpur, lori roti ditemui di Kemaman

Lori muatan roti yang dilaporkan hilang di Kuala Lumpur ditemui semula di Kemaman malam tadi. FOTO: Pembaca
Lori muatan roti yang dilaporkan hilang di Kuala Lumpur ditemui semula di Kemaman malam tadi. FOTO: Pembaca
A
A
A

KEMAMAN - Sebuah lori muatan roti milik sebuah syarikat roti terkenal yang dilaporkan hilang di Kuala Lumpur ditemukan di tepi jalan berhampiran Masjid Beris Meraga, Kijal, di sini malam tadi.

Lori tiga tan itu dipercayai ditinggalkan di situ kira-kira jam 8 malam sebelum orang ramai yang curiga melihat kenderaan tersebut berada begitu lama di lokasi memaklumkan kepada pekerja syarikat roti berkenaan.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, lori terbabit dilaporkan hilang di Jalan Petaling, Kuala Lumpur kira-kira jam 7 pagi pada hari yang sama kenderaan terbabit ditemukan semula.

"Lori terbabit sebelum itu digunakan untuk mengedar roti di sekitar Kuala Lumpur sebelum disedari hilang oleh pemandunya.

"Berikutan itu, pemandu lori terbabit pergi ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk membuat laporan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.

Hanyan berkata, sebaik lori itu ditemukan, wakil kakitangan syarikat terbabit telah telah datang ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman membuat laporan kira-kira jam 10 malam tadi.

"Kes terbabit diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi untuk tindakan lanjut dan kes berkenaan disiasat mengikut seksyen 379(a) Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!