Petronas Pantai Timur bantu barisan hadapan
KEMAMAN – Tersentuh dengan situasi semasa negara yang terkesan dengan wabak koronavirus (Covid-19), kakitangan Petronas Pantai Timur tampil memberikan sumbangan peribadi dalam meringankan tekanan kerja yang dihadapi oleh kakitangan Hospital Kemaman.
Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Datuk Wan Mohd Hasnan Abdullah berkata, sumbangan berkenaan adalah sebagai tanda sokongan moral dan lambang solidariti warga Petronas di atas dedikasi dan pengorbanan barisan hadapan di dalam menangani Covid-19.
Menurutnya, usaha itu diselaraskan oleh Badan Kebajikan Kakitangan Islam Petronas (Bakip) dan berjaya mengutip sumbangan berjumlah RM47,111.85 selepas seminggu ia dilancarkan.
Ahli Jawatankuasa Bakip Petronas Chemicals Ethylene Sdn Bhd, Sukiman Jinazan Jusoh berkata, inisiatif yang dijalankan bertujuan untuk menzahirkan penghargaan kakitangan Petronas Pantai Timur kepada warga Hospital Kemaman.
“Sebagai warga korporat yang prihatin, kami bersama-sama mendoakan agar mereka terus cekal di dalam menghadapi saat getir ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, Pegawai Perubatan/Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Hospital Kemaman, Dr Matnoh Karim menzahirkan ucapan terima kasih di atas sumbangan yang disampaikan.
Jelasnya, sumbangan tersebut sedikit sebanyak mampu meringankan bebanan kakitangan untuk terus fokus di dalam menjalankan tugas mereka.
Sebelum ini, Petronas melalui Yayasan Petronas menyampaikan sumbangan peralatan perubatan bernilai RM20 juta kepada Kementerian Kesihatan dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk mengurangkan penyebaran penularan Covid-19.
Selain daripada itu, Petronas Dagangan Berhad turut menyampaikan bekalan air mineral kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).
ARTIKEL BERKAITAN: Petronas sumbang peralatan, bekalan perubatan RM20 juta
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!