Disangka babi hutan, dua beranak tertembak orang

Seorang warga emas cedera akibat terkena peluru sesat, dalam kejadian di kawasan Bukit Harimau, di sini semalam.
Seorang warga emas cedera akibat terkena peluru sesat, dalam kejadian di kawasan Bukit Harimau, di sini semalam.
A
A
A

MARANG - Seorang warga emas cedera di bawah ketiak kiri akibat terkena peluru sesat, dalam kejadian di kawasan Bukit Harimau, di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang, mangsa berusia 66 tahun dikatakan berada di dalam semak di lokasi sebelum terkena tembakan berpunca daripada tindakan seorang lelaki yang juga pemilik senjata api melepaskan satu das tembakan untuk menembak sekumpulan babi hutan yang sedang melintas jalan di lokasi.

Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd Zain Mat Dris berkata, lelaki berusia 53 tahun bersama anak lelakinya berusia 19 tahun dalam perjalanan balik ke rumah di Hulu Terengganu selepas membersihkan ladang kelapa sawit di kawasan berkenaan.

"Setibanya di lokasi, mereka ternampak sekumpulan babi hutan sedang melintas jalan sebelum lelaki tersebut memberhentikan kereta lalu mengambil senapang patah dan melepaskan satu das tembakan.

"Pada masa sama, anak lelakinya ternampak cahaya lampu motosikal dalam kawasan semak berhampiran lalu segera membuat pemeriksaan.

"Sebaik tiba di kawasan semak berkenaan, mereka ternampak mangsa sedang membalut luka di bawah ketiak kirinya sebelum dua beranak itu membawa mangsa ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Mohd Zain berkata, dua beranak terbabit direman selama tiga hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960 dan Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Katanya, mangsa yang dilaporkan dalam keadaan stabil juga akan disiasat mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 kerana berada di luar ketika Perintah Kawalan Pergerakan.

Artikel Berkaitan: