Bandar Temerloh lengang selepas jam 12 tengah hari
TEMERLOH - Bandar Temerloh dan Mentakab di sini lengang selepas orang ramai dinasihatkan menghadkan pergerakan ke bandar itu selepas jam 12 tengah hari yang dilaksanakan sejak Ahad lalu.
Tinjauan Sinar Harian mendapati keadaan lalu lintas ke bandar itu berjalan lancar dan tidak sesak seperti yang dilaporkan sebelum ini.
Beberapa sekatan jalan raya diadakan di beberapa lokasi menuju ke arah bandar terbabit selepas jam 12 tengah hari juga berjalan lancar tanpa kesesakan kenderaan.
Walaupun keadaan dilaporkan sesak di sebelah pagi berikutan orang ramai mengambil peluang untuk membeli barangan keperluan, mereka dilihat mematuhi arahan yang dikeluarkan pihak polis di daerah itu untuk tidak keluar ke bandar selepas tempoh terbabit.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Yusri Othman meminta supaya orang ramai di daerah ini menghadkan pergerakan ke bandar dari jam 7 pagi hingga 12 tengah hari bagi tujuan membeli barang keperluan.
Namun pengecualian diberikan kepada petugas-petugas penting yang perlu bertugas, hal-hal kecemasan dan mereka yang terlibat dalam penghantaran makanan dan barangan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!