Covid-19: JBPM sedia tiga aset udara
KUALA LUMPUR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menyediakan tiga aset udara bagi menghadapi wabak koronavirus (Covid-19) di seluruh negara, ketika ini.
Pegawai Memerintah Pengkalan Udara JBPM, Penolong Pesuruh Jaya Bomba Muhammad Saiful Nizam Samsuddin berkata, ia akan digunakan untuk membawa pesakit Covid-19 dari lokasi terjejas.
Menurutnya, JBPM memiliki tiga aset yang dapat digerakkan buat masa sekarang bagi menghadapi sebarang bencana seperti Covid-19 ini.
“Kesemua pesawat sudah tersedia dan kini ditempatkan di Pangkalan Udara JBPM Subang.
“Seramai 120 orang pegawai bomba juga bersiap bagi kesiapsiagaan pesawat jika digerakkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Muhammad Saiful Nizam berkata, persediaan yang lengkap bagi menangani wabak ini telah dirangka dan akan terus diaktifkan jika diperlukan.
Sehingga kini, beliau berkata, unit udara JBPM telah melakukan medevac iaitu prosedur pemindahan mangsa ke hospital menggunakan helikopter atau kapal terbang, di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijalankan.
Sebelum ini kerajaan mengumumkan, PKP diadakan seluruh negara, bermula 18 hingga 31 Mac ini namun dilanjutkan kepada 14 April.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!