Berjudi, main badminton punca ditahan ingkar PKP
KEPALA BATAS - Ditahan ketika leka berjudi malah ada lagi yang berani bermain badminton di tengah padang tanpa menghiraukan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Itu antara kesalahan dikesan dalam pemantauan Ops Covid-19 yang dilakukan polis di sekitar daerah Seberang Perai Utara (SPU) di sini semalam.
Dalam operasi yang dilakukan bermula 6 pagi itu, seramai 30 individu ditahan termasuk lima lelaki warga Nepal di sembilan lokasi pemeriksaan di sini.
Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pemeriksaan dilakukan di kawasan Pantai Bersih, pusat makanan di Jalan Raja Uda, Jalan Kampung Permatang Tok Bidan dan Permatang Tengah.
Menurutnya, turut dikesan individu yang melanggar perintah berkenaan di kawasan Pangsapuri Sri Mekar, Mak Mandin,Taman Pandan, dan Butterworth.
"Dalam pemantauan di Permatang Tengah, anggota kita mengesan enam lelaki yang sedang berkumpul dan leka berjudi tanpa menyedari kehadiran polis.
"Berbeza pula keadaan di kawasan padang, Pangsapuri Sri Mekar Mak Mandin apabila lima lelaki warga Nepal tidak mengendahkan arahan polis supaya beredar selepas didapati bermain badminton pada petang semalam.
"Kesemua mereka ditahan dan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPU untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Noorzainy berkata, dalam pemeriksaan yang dilakukan itu turut menemui bungkusan air ketum, sejumlah dadah jenis syabu dan ganja selain ada di antara mereka yang positif dadah selepas ujian saringan dilakukan.
Sementara itu dalam tangkapan berasingan, Noorzainy berkata, seorang penunggang motosikal ditahan di Bagan Ajam selepas cuba melarikan diri ketika ditahan oleh pasukan rondaan MPV kira-kira jam 1.40 pagi.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati lelaki berkenaan mempunyai tujuh rekod jenayah lampau dan gagal memberikan alasan yang munasabah kerana keluar daripada kawasan rumah pada waktu berkenaan.
"Kita akan bertindak tegas dengan tangkap mereka yang sengaja melanggar PKP. Walaupun perintah ini telah masuk fasa kedua namun masih ada yang degil dan ingkar.
"Kesemua yang ditahan kini direman dan akan didakwa di mahkamah dalam masa terdekat sebaik kertas siasatan disiapkan, "katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!