UKM FC potong gaji pemain 15 hingga 20 peratus
KELAB Liga Premier, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) FC mengambil pendekatan memotong gaji pemain antara 15 hingga 20 peratus bermula bulan ini sehingga tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.
Setiausaha Kehormat UKM FC, Mohd Fairus Shafie, berkata, langkah itu telah dimaklumkan kepada pemain yang memahami kesukaran dialami pihak pengurusan selepas Liga Malaysia (Liga-M) terpaksa ditangguhkan sejak 16 Mac lalu.
Menurutnya, tempoh itu juga menyukarkan pihak penaja dalam memenuhi komitmen kepada UKM FC sehingga membuatkan pengurusan pasukan tiada pilihan selain mengambil langkah sebegitu bagi memastikan kelangsungan skuad The Varsity Boys.
“Gaji pemain untuk bulan Mac telah dilangsaikan dan bagi April, kami telah beritahu langkah pemotongan terpaksa diambil, rata-rata pemain menerima keadaan itu memandangkan liga masih ditangguhkan.
“Hanya maksimum 20 peratus pemotongan gaji kami akan kenakan dan 15 peratus pula kepada pemain-pemain yang bergaji rendah, langkah itu akan diteruskan sehingga tempoh PKP berakhir dan tertakluk kepada perbincangan kedua-dua pihak.
“Saya faham pemain ada kontrak namun dalam tempoh luar jangka ini, sememangnya jadi satu tempoh mencabar kerana libatkan semua pihak di luar sana dan saya hargai sikap tolak ansur pemain.
“Kami akui penaja tidak dapat membantu pasukan buat masa ini kerana mereka juga terjejas dan ini adalah formula terbaik demi kebaikan semua pihak, ” katanya dalam satu kenyataan.
Kapten UKM FC, Asnan Ahmad pula menyifatkan apa jua yang diputuskan pihak pengurusan adalah demi kebaikan pasukan dan pemain itu sendiri terutamanya dalam mengharungi situasi penularan wabak Covid-19 ketika ini.
“Kami memang sudah dimaklumkan mengenai pemotongan gaji tersebut dan selepas ini perbincangan lebih mendalam akan dilakukan lagi untuk kami sama-sama dapat mencari jalan penyelesaian terbaik.
“Apa pun, saya memang mengharapkan apa jua keputusan adalah demi kebaikan untuk kedua-dua pihak. apatah lagi dalam tempoh yang mencabar ini bagi menghadapi wabak Covid-19.
“Dalam keadaan yang cukup getir ini, saya memang setuju seandainya perbincangan antara pasukan dan pemain dapat dibuat selalu untuk sama-sama bertolak ansur dalam situasi sukar ini,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!