Pemain Liga Super PDRM kongsi pengalaman kuat kuasa PKP
"KAMI perlu berdepan dengan pelbagai ragam dan kerenah orang awam dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) disebabkan pandemik Covid-19.”
Itu antara pengalaman pemain tengah skuad Liga Super Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang juga anggota polis trafik, Muhammad Hariz Irffan Nazri yang bertugas dalam tempoh pelaksanaan PKP ekoran penularan pandemik Covid-19.
Hariz berkata, masih ada individu yang degil apabila keluar tanpa alasan munasabah biarpun kerajaan mengeluarkan arahan untuk kekal berada di rumah sepanjang tempoh PKP yang dilanjutkan sehingga 14 April.
Bagaimanapun, Hariz berkata, situasi berkenaan dianggap sebagai salah satu cabaran yang perlu dilaluinya selaku barisan hadapan negara ketika ini.
“Kalau buat sekatan jalan raya, memang macam-macam alasan yang kami terima dan ada yang tidak masuk akal, tetapi kami harus bertegas dalam melaksanakan tugas kerana ini demi keselamatan semua pihak.
“Kadang-kadang saya kena bertugas dalam tempoh 24 jam dan kadang-kadang 12 jam, jadi memang tidak menentu waktu kerja kami sepanjang pelaksanaan PKP.
“Sekarang nak rehat pun tak cukup, kadang-kadang balik rumah sempat makan sekejap, mandi dan terus tertidur sebelum sambung bekerja keesokan harinya,” katanya.
Hariz yang kini bertugas di Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ampang Jaya antara 14 pemain PDRM yang menyahut panggilan kerajaan bagi membantu membendung pandemik Covid-19 menerusi sekatan jalan raya dan rondaan.
Menurut Hariz, bergelar pemain dan anggota keselamatan dalam satu masa bukanlah satu perkara yang mudah terutama pada saat-saat getir seperti ini.
“Saya harap semua pihak mendoakan yang terbaik buat kami. Saya juga sudah sudah pastinya rindu untuk beraksi semula bersama pasukan di padang,” katanya.
Rakan sepasukan Hariz yang juga kapten PDRM, Mohd Safiee Ahmad turut berharap untuk kembali beraksi bersama skuad The Cops selepas Liga Malaysia (Liga-M) ditangguhkan sejak dua minggu lalu.
“Saya kini bertugas di kawasan Kuala Lumpur dan pertama kali saya dapat lihat sekitar ibu kota tidak sibuk seperti biasa walaupun masih ada segelintir yang melanggar perintah tidak berada di rumah.
“Sebenarnya, kami memang lebih mudah terdedah kepada bahaya persekitaran luar tetapi tugas tetap perlu dilaksanakan. Kami berharap dapat segera kembali ke padang kerana kami semua juga rindu untuk beraksi,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!