Masih berdegil, 107 ditahan ingkar PKP
SERDANG - Seramai 107 individu termasuk 11 wanita berdepan tindakan undang-undang selepas ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah ini bagi tempoh empat hari sejak Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, kesemua individu itu ditahan semasa sekatan jalan raya dan rondaan Ops Covid-19.
Menurutnya, tindakan akan diambil mengikut Peraturan 7(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.
“Selain itu, polis juga turut menerima aduan daripada orang awam berhubung PKP ini.
"Orang ramai boleh membuat aduan dengan berhubung dengan pihak polis pada bila-bila masa sahaja jika mendapati ada penduduk di kawasan kediaman mereka masih ingkar arahan PKP," katanya ketika ditemui pemberita selepas memantau sekatan jalan raya di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) hari ini.
Dalam pada itu, tambah Ismadi, pihaknya juga akan mempertimbangkan untuk menambah jumlah sekatan jalan raya jika masih terdapat penduduk yang masih degil.
Jelasnya, ia susulan peningkatan jumlah individu yang ditahan sejak Jumaat.
"Kita percaya kes akan meningkat, namun kita berharap selepas ini dengan tindakan yang lebih tegas, penduduk di kawasan ini akan lebih mematuhi perintah dan duduk di rumah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!