Jualan jagung bapa merosot, anak harap belas warga maya
KUANTAN - Penularan wabak koronavirus (Covid-19) di negara ini memberi impak yang besar terutama kepada golongan petani.
Perkongsian seorang pelayar Twitter dikenali Haqeem yang merupakan anak kepada seorang petani mendedahkan keperitan dan kepayahan ditanggung bapanya apabila berhadapan dengan kesulitan untuk menjual hasil tanaman jagungnya di Chenor, Kuantan.
Walaupun akur dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan kerajaan namun golongan ini perlu mencari rezeki.
Haqeem berkata, bapanya mengalami kesulitan untuk memasarkan hasil tanaman jagung yang diusahakan sejak tiga bulan lalu.
"Kesian ayah. Tiga bulan berhempas pulas tanam jagung. Duit tak pernah cukup. Penat, berpanas setiap hari. Umur nak 50 dah.
"Sekarang ketika musim menuai, tak ramai yang membeli sebab wabak Covid-19," ciapnya.
Selepas ciapan tersebut tular di laman sosial, ramai pihak tampil menghulurkan bantuan bagi memasarkan hasil tanaman jagung milik bapanya.
Antara yang membantu termasuk Lembaga Pemasaran Pertanian Malaysia (FAMA) dan Jabatan Pertanian Malaysia.
Dalam pada itu, Haqeem mengucapkan terima kasih kepada pihak yang banyak membantu.
"Pihak FAMA sudah ada pusat pengumpulan sementara dan jualan secara 'pickup point' dan pandu laju (drive thru) sudah berjalan. Terima kasih FAMA!
"Terima kasih banyak kepada semua yang membantu, ciapan dan kongsi tanaman jagung. Dapat membantu keluarga saya.
"Nak pesan, dalam Malaysia ni banyak sangat kisah yang kita tak sangka manusia boleh lalui. Jadi sebagai manusia yg mempunyai sesuatu, bersyukurlah seadanya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!