Geng Tepung Susu tumpas
IPOH - Polis berjaya menumpas Geng Tepung Susu yang dipercayai terlibat dalam sembilan kes curi susu tepung berjenama bernilai RM20,000 melibatkan pasar raya sekitar bandar ini sejak awal Januari tahun lalu.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, pihaknya berjaya menahan seorang wanita tempatan berusia 35 tahun bersama anak lelakinya berusia 15 tahun serta adik lelakinya 19 tahun, Ahad lalu.
"Bertindak daripada maklumat yang diterima pasukan polis telah menyerbu sebuah rumah banglo di Mengelembu Ahad lalu sekitar jam 11.30 malam dan menangkap tiga beranak terdiri daripada emak, anak dan adik lelaki.
"Hasil siasatan mendapati wanita berkenaan mengaku melakukan kecurian dalam banggunan melibatkan sembilan kes sekitar Ipoh dan empat lagi kes di Tapah serta Kampar," katanya kepada pemberita pada sidang media di Bilik Mesyuarat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh, di sini hari ini.
Tambahnya, pihak polis juga berjaya merampas 218 tin dan kotok susu tepung berjenama yang disimpan di rumah sewa yang didiami ketiga-tiga suspek ini dipercayai untuk dijual kepada salah seorang ejen yang juga ahli geng ini.
"Modus operandi digunakan adalah di mana seorang lelaki yang sedang kita kesan akan masuk ke pasar raya dan mengasingkan susu tepung di satu sudut supaya tidak boleh dirakam kamera litar tertutup (CCTV).
"Dia kemudiannya akan menelefon wanita terbabit untuk memasukkan susu ke dalam beg sebelum berlakon membeli barang lain bagi mengalihkan perhatian juruwang untuk membolehkan wanita itu membawa lari susu menaiki kereta sewa yang dibantu dua lagi suspek," katanya.
Tambahnya, siasatan lanjut juga mendapati wanita berkenaan, pernah ditahan atas kesalahan sama dibawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan di Ipoh dan Nibong Tebal, Pulau Pinang.
"Waktu operasi geng ini tidak kira siang atau malam dan polis percaya ini adalah salah satu cara wanita ini menyara keluarganya dan menjual susu kepada lelaki yang sedang diburu polis tanpa mengikut harga pasaran.
"Ketiga-tiga suspek direman sehingga 16 Januari ini dan polis juga sedang giat mengesan seorang lelaki berusia sekitar 40-an yang dipercayai turut terlibat dengan geng ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!