107 atlet, jurulatih, pegawai MSN disahkan negatif Covid-19
KUALA LUMPUR- Kesemua 107 terdiri daripada atlet, jurulatih dan pegawai Majlis Sukan Negara (MSN) disahkan negatif koronavirus (Covid-19).
Jumlah itu termasuk kontak rapat dan kontak sekunder atlet baling tukul besi negara, Jackie Wong yang disahkan positif dan kini sedang dirawat di Hospital Sibu, Sarawak, selain beberapa atlet baru pulang dari luar negara sama ada menyertai kejohanan atau menjalani program latihan.
Ketua Pengarah MSN Datuk Ahmad Shapawi Ismail dalam kenyataan hari ini mengesahkan perkembangan menggembirakan itu.
“Sehingga 30 Mac, daripada 107 yang dikuarantin, 86 orang telah menjalani ujian sama ada melalui Pejabat Kesihatan Daerah ataupun pihak swasta dan keputusan ujian yang diperoleh adalah negatif.
“Sementara baki 21 orang yang tidak perlu melakukan ujian juga telah bebas daripada proses kuarantin di rumah apabila tidak menunjukkan sebarang gejala setelah tamat proses kuarantin selama 14 hari,” menurut kenyataan itu.
Mengenai status kesihatan Jackie, Ahmad Shapawi berkata, keputusan sampel ujian kali ketiga pemenang pingat perak Sukan SEA Filipina 2019 itu yang diambil pada Sabtu lepas menunjukkan keputusan negatif.
“Namun, beliau masih perlu melalui ujian kali terakhir yang dibuat pada 30 Mac untuk menentukan beliau benar-benar bebas daripada jangkitan berkenaan dan keadaan beliau ketika ini adalah sihat,” tambahnya.
Sementara itu, Ahmad Shapawi berkata MSN bersama Institut Sukan Negara (ISN) melalui Jawatankuasa Bertindak Covid-19 sudah melaksanakan beberapa tindakan serta-merta.
Beliau berkata, bagi tujuan pencegahan, MSN dan ISN melakukan proses sanitasi sebanyak dua kali pada 17 Mac dan 24 Mac melibatkan kawasan yang dikunjungi Jackie dalam tempoh 1 hingga 10 Mac sebelum proses sama di keseluruhan Kompleks MSN, ISN dan Pejabat Pesuruhjaya Sukan pada 25 Mac.
“Sememangnya harapan kita agar tiada lagi jangkitan melibatkan atlet, jurulatih dan pegawai sukan negara dan mereka dinasihatkan supaya mendapatkan pemeriksaan terus di hospital atau pejabat kesihatan berdekatan bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut jika terdapat simptom.
“Atlet perlu terus melakukan latihan persendirian berdasarkan program latihan yang dibekalkan oleh jurulatih masing-masing dan semua diminta mematuhi segala arahan dan panduan dikeluarkan pihak kerajaan dari semasa ke semasa dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini,” katanya.-Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!