KPWKM mohon maaf, poster penampilan diri cetus kontroversi
PUTRAJAYA - Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) memohon maaf berhubung poster tips dikeluarkan kementeriannya yang meminta wanita yang bekerja di rumah sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menjaga penampilan dengan berhias meskipun berada di rumah.
Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Datuk Saidatu Akhma Hassan dalam kenyataannya berkata, pihaknya mengambil maklum respon banyak pihak berhubung perkara itu.
"Pihak kami memohon maaf sekiranya beberapa tips yang dikongsikan tidak bersesuaian dan menyentuh sensitiviti golongan tertentu serta akan lebih berhati-hati pada masa akan datang," katanya.
Menurutnya, pendekatan yang digunakan adalah untuk berkongsi kaedah dan amalan untuk mengekalkan hubungan yang positif dalam keluarga dan ketika menjalani fasa bekerja dari rumah.
"Pihak kami menghebahkan tips harian dan mesej positif dalam media sosial dengan kempen #wanitacegahcovid19 merangkumi pelbagai tema dengan matlamat untuk berkongsi maklumat kepada golongan wanita," katanya.
Terdahulu poster yang dimuatnaik di laman sosial KPWKM menerima pelbagai reaksi warganet.
Selain daripada itu, JPW turut memuatnaik pelbagai poster yang berkongsi tip kepada wanita bekerjaya antaranya menjaga disiplin masa, mewujudkan work station sementara dan mengatur aktiviti anak di rumah bagi melancarkan tanggungjawab sebagai seorang ibu dan pekerja.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!