Tindakan tegas jika sorok maklumat kluster Covid-19

Hamzah
Hamzah
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tindakan tegas akan diambil terhadap orang awam yang cuba menyembunyikan maklumat berkaitan kluster Covid-19 terutama dalam kalangan kluster tabligh.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya memohon jika mana-mana individu merasakan diri mereka mempunyai kontak dengan kluster terbabit untuk tampil membuat saringan.

"Berdasarkan data yang diperoleh, beberapa kumpulan kluster ini boleh menyebabkan Covid-19 itu berpanjangan dari segi rantaiannya.

"Kita bukan mahu tangkap, kita minta mereka tampil untuk buat saringan sahaja. Saya hendak tegaskan kalau sesiapa yang tahu bahawa dalam keluarga itu terdapat yang positif atau sama ada dalam ahli keluarga itu terlibat dalam kluster namun tidak memberitahu, ini adalah amaran pertama untuk tindakan tegas.

"Sudah sampai masanya dan ini sudah masuk minggu kedua. Sebab itu Ketua Polis Negara mencadangkan kepada saya untuk memaklumkan kepada rakyat berhubung tindakan tegas ini. Berdasarkan saringan yang dibuat, beribu adalah daripada kluster dan sebab itu kita minta mereka datang dengan baik," katanya pada sidang media di Bukit Aman hari ini.

Turut hadir Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Mengulas lanjut, beliau berkata, diingatkan tindakan tegas akan diambil sekiranya masih ada yang menyorok.

Katanya, pihaknya akan memfokuskan terhadap kalangan kluster dahulu dan jalan terbaik adalah tampil untuk saringan bagi menyekat wabak daripada merebak.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Hamzah turut mengingatkan masyarakat supaya tidak memanipulasi isu Covid-19 ini dengan bangsa serta agama.

"Saya ingatkan, Covid-19 ini tidak kenal bangsa, pangkat dan agama. Usah ada sesiapa yang buat berita atau cerita yang boleh memecahkan perpaduan, ketenteraman dan kedamaian kaum. Apa yang patut dilakukan adalah kerjasama, bukannya kutuk mengutuk dan itu yang masalah.

"Kalau ada lagi berita-berita di media sosial tentang perkara seperti itu, kita akan ambil tindakan tegas," katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, seramai 3,125 individu telah ditahan kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan 245 daripada telah dituduh di mahkamah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!