Dua perlima populasi dunia kena lockdown
PARIS - Langkah lockdown bertujuan untuk menghentikan penularan wabak koronavirus (Covid-19) telah diperluaskan ke seluruh dunia susulan lonjakan jumlah kematian global mencecah 37,878 dan peningkatan mendadak lebih 800,000 kes jangkitan.
Ketika ini, kira-kira dua perlima daripada populasi 7.8 bilion penduduk di seluruh dunia berdepan perintah duduk di rumah untuk membendung penularan wabak tersebut.
Rusia dan Nigeria mengikut jejak negara lain yang telah melaksanakan lockdown manakala Virginia dan Maryland menjadi negeri terbaharu di AS yang mengumumkan perintah duduk di rumah diikuti Washington sekali gus menjadikan tiga perempat daripada 327 juta penduduk di negara itu berdepan dengan langkah tegas tersebut.
Kebanyakan penduduk global terutamanya di bandar miskin Afrika dan Asia berdepan kesukaran untuk menjalani kehidupan seharian akibat perintah lockdown itu.
Lagos yang merupakan bandar terbesar di Afrika mengarahkan seluruh 21 juta penduduk duduk di rumah berkuat kuasa kelmarin selepas Presiden Nigeria, Muhammadu Buhari mengumumkan perintah lockdown yang turut dilaksanakan di Abuja.
“Dua minggu adalah tempoh yang agak lama. Saya tidak tahu bagaimana untuk menghadapinya,” kata pelajar, Abdul Rahim, 25, yang membantu ahli keluarganya menjual makanan di gerai pasar.
Selain itu, Zimbabwe yang mempunyai populasi 16 juta penduduk juga mula menguatkuasakan perintah lockdown selama tiga minggu.
“Ahli keluarga kami perlu diberi makan, namun tiada makanan. Bagaimana mereka berharap kami dapat bertahan sehingga perintah itu tamat?” kata peniaga sayur-sayuran di bandar Mbare, Irene Ruwisi. - AFP
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!