PKP: Seramai 367 lagi didakwa, ada dipenjara, didenda
KUALA LUMPUR - Joging semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan, menyamar polis sehingga menahan orang awam dan melepak dengan rakan antara kesalahan dilakukan 367 individu yang dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen di beberapa negeri hari ini.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara dan juga denda terhadap pesalah ini selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan kepada mereka membabitkan kesalahan dilakukan antara 24 Mac dan 29 Mac lalu.
Antara pertuduhan yang dikemukakan ialah menghalang tugas penjawat awam dalam menjalankan fungsi mereka semasa tempoh PKP mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.
Ada juga menyamar polis mengikut Seksyen 170 kanun sama yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mereka juga didakwa gagal mematuhi PKP dengan bergerak dari satu tempat ke tempat lain dalam mana-mana tempat jangkitan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang boleh dihukum penjara sehingga enam bulan dan denda RM1,000 atau kedua-duanya.
Seramai 15 lelaki didakwa di Mahkamah Majistret di sini termasuk sembilan warga asing dan dua warga tempatan yang ditahan ketika berjoging di Jalan Mont Kiara dan Jalan Desa Kiara di sini.
Warga asing itu terdiri daripada warganegara Britain Jamie Bubb Sacklyn, 28; warganegara Korea Selatan Woo Yum Sik, 54, Lee Jong Young, 50, dan Kwang Suk Lee, 51; warganegara Jepun Koichi Itano, 60, Tanakatohishiko, 61, Mitsuhiru Takayanagi, 51, dan Taichi Okubo, 36; dan warganegara India, B Vikram, 48.
Dua lagi ialah warga Malaysia S K Ramani, 56 dan Au Yong Vooi Loon, 31 dan masing-masing didenda RM1,000 atau penjara empat minggu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan ingkar PKP.
Dua lelaki lain pula dihukum penjara lapan bulan selepas mengaku bersalah menyamar polis dan melanggar PKP.
Penarik kereta, Muhammad Nur Saddiq Isham Marzuki, 24 dan penganggur, Mohamed Nazrin Shah Kamal Bachah, 25, dihukum penjara tujuh bulan bagi pertuduhan menyamar polis dan semasa menyamar mereka menahan seorang lelaki serta penjara empat minggu bagi kesalahan melanggar PKP. Hukuman itu berjalan berasingan.
ARTIKEL BERKAITAN: Dua sahabat menyamar polis, langgar PKP dipenjara 8 bulan
Di Mahkamah Majistret Selayang, pemandu lori P R Yugendran, 26, dihukum penjara sebulan kerana melepak bersama rakannya dalam kawasan tempat jangkitan tanpa sebarang alasan munasabah di Jalan SJ 17, Gombak di sini pada 1.10 pagi, 28 Mac.
Penganggur, Noor Azman Ahmad Cibi, 45, didenda RM800 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Ampang, kerana cuba meloloskan diri dalam sekatan jalan raya Op Covid-19 di Ampang dan juga berada dalam kawasan jangkitan tanpa sebarang tujuan.
Selangor
Sejumlah 61 individu didakwa di Mahkamah Sesyen Klang kerana melanggar PKP antaranya tanpa alasan sah telah bergerak ke kawasan jangkitan, berada di bawah pokok dan berkumpul beramai-ramai.
Tertuduh masing-masing didenda antara RM800 hingga RM1,000 dan boleh dipenjarakan antara satu atau dua bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Kesemua tertuduh berumur lingkungan 18 hingga 50 tahun itu ditahan secara berasingan pada 25 hingga 28 Mac di sekitar daerah ini antaranya di Meru, Kapar, Bukit Raja, Taman Sentosa dan Bandar Sultan Sulaiman.
Johor
Seramai 23 individu termasuk tujuh remaja mengaku bersalah di Mahkamah Majistret, Kota Tinggi, Johor, terhadap pertuduhan mengingkari PKP.
Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM1,000 atau penjara 15 hari terhadap 16 tertuduh manakala bagi kes tujuh remaja, mahkamah menetapkan 11 Mei untuk sebutan bagi mendapat laporan akhlak sebelum menjatuhkan hukuman.
Remaja itu dibebaskan dengan ikat jamin RM1,000 sementara menunggu dijatuhkan hukuman. Semua tertuduh, yang berusia antara 15 tahun hingga 37 tahun itu, sebelum ini ditahan dalam beberapa serbuan di sekitar daerah Kota Tinggi antara 26 Mac hingga 28 Mac.
Pahang
Seramai 19 individu termasuk dua warga Bangladesh dan seorang wanita dihukum penjara dan denda selepas mengaku bersalah melanggar PKP di Mahkamah Majistret Kuantan.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara antara dua hingga 14 hari dan denda sekitar RM200 dan RM400 atau sebulan penjara, terhadap tertuduh berusia antara 19 hingga 47 tahun manakala bagi tiga remaja berumur 17 dan 18 tahun dibebaskan dengan jaminan RM500 sementara sebutan kes pada 5 Mei bagi mendapatkan laporan sosial bagi menjatuhkan hukuman.
Pulau Pinang
Seramai 183 individu termasuk 21 orang warga asing dihadapkan di tiga Mahkamah Majistret berasingan di negeri ini kerana ingkar PKP.
Sejumlah 33 individu didakwa di Mahkamah Majistret George Town, Butterworth (73 orang) dan Bukit Mertajam (77 orang) dan kesemua mereka berumur antara 15 hingga 66 tahun itu ditahan dalam Ops Covid-19 yang dijalankan di seluruh negeri ini antara 24 hingga 29 Mac lepas.
Seramai 151 orang daripada jumlah itu mengaku bersalah dan dikenakan hukuman denda RM1,000, dan juga penjara serta Perintah Kehadiran Wajib (PKW) kerana bergerak ke suatu kawasan jangkitan.
Beberapa tertuduh juga menghadapi pertuduhan menghalang tugas penjawat awam.
Bagi tertuduh yang mengaku tidak bersalah, Mahkamah Majistret George Town dan Bukit Mertajam masing-masing menetapkan 12 Mei dan 14 Mei ini untuk sebutan semula kes.
Melaka, 19 individu termasuk tiga warga asing dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini kerana berada di kawasan jangkitan tanpa alasan munasbah. Kesemua tertuduh yang berumur antara 18 dan 43 tahun itu mengaku bersalah atas pertuduhan masing-masing.
ARTIKEL BERKAITAN: Ingkar PKP: 19 individu termasuk pemain bola sepak didenda RM900
Lima tertuduh termasuk seorang warga Nepal dihukum penjara antara sebulan hingga tiga bulan manakala 12 tertuduh termasuk dua warga Nigeria didenda dari RM800 hingga RM1,000 dan jika gagal bayar akan dipenjara antara satu bulan dan tiga bulan.
Negeri Sembilan
Seramai 38 individu berumur antara 16 hingga 57 didakwa di beberapa buah Mahkamah Majistret di negeri ini kerana gagal mematuhi PKP dan menghalang tugas penjawat awam.
Di Mahkamah Majistret Seremban, beberapa lelaki dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM1,000 kerana berada dalam satu kawasan jangkitan dan beberapa yang lain tidak mengaku bersalah atas tuduhan itu.
Di Mahkamah Majistret Port Dickson seorang kelindan lori berumur 19 tahun dan seorang remaja berusia 16 tahun mengaku tidak bersalah atas tuduhan melanggar arahan pihak berkuasa dan berada di kawasan jangkitan.
Di Mahkamah Majistret Kuala Pilah, penghantar barang dihukum penjara 25 hari dan denda RM3,000 kerana menghalang tugas penjawat awam.
Perlis
tujuh lelaki termasuk remaja lelaki berumur 13 tahun masing-masing didenda RM1,000 atau penjara sebulan kerana berada dalam kawasan jangkitan pada 27 dan 28 Mac di sekitar daerah Arau iaitu Taman Cempaka, Kampung Seri Gelam Tambun Tulang dan Kampung Teluk.
Empat penganggur berumur 21 dan 32 tahun pula mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan sama. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!