Putus bekalan makanan, orang asli pindah ke hutan
BALING - Akibat terputus bekalan makanan, sebanyak 11 keluarga orang asli Kampung Lubuk Legong berpindah ke dalam hutan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan 18 Mac lalu.
Tok Batin Kampung Lubuk Legong, Razali Kulim berkata, tindakan itu membolehkan masyarakat orang asli mencari hasil hutan di samping mematuhi PKP bagi mengelakkan risiko penularan koronavirus (Covid-19).
Ini kerana katanya, pendekatan itu juga bertujuan mengurangkan kesesakan di kampung yang meliputi keseluruhan 340 penduduk membabitkan 89 keluarga di perkampungan masyarakat orang asli Lubuk Legong.
"Ada yang mengadu makanan terutama beras habis, mereka juga tidak dibenarkan menoreh serta perlu duduk rumah, jadi sebilangan kecil berpindah ke dalam hutan, ke tepi sungai. Di sini mereka ada ubi, pisang dan makan apa sahaja yang ada.
"Nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) kata tak boleh berkumpul, ada yang pindah supaya kami tak berhimpun dalam kampung buat masa sekarang sejak 18 Mac lalu," katanya.
Beliau berkata, perpindahan juga membuatkan penduduk orang asli lebih selesa kerana lebih dekat dengan jiwa mereka selain berdekatan sumber hasil hutan dan bekalan air sungai.
Sementara itu, Sinar Harian turut berkesempatan melihat keadaan 11 keluarga masyarakat orang asli yang berpindah dari Kampung Lubuk Legong ke tepi Sungai Siong dan tinggal dalam pondok beralaskan kayu serta beratapkan nipah.
Bagaimanapun, sebilangan besar lagi dilihat masih tinggal di kampung dan akur arahan PKP biarpun keadaan ruang yang kecil selain bilangan anak serta ahli keluarga yang ramai dalam sesebuah rumah.
Keadaan itu mendapat perhatian Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim yang hadir mengagihkan sumbangan kepada penduduk termasuk yang berpindah ke dalam hutan dan tepi sungai.
"Mereka sedar bahawa wabak Covid-19 adalah satu fenomena baharu dan akur dengan arahan supaya berada di rumah. Bagi memastikan rakyat duduk rumah, kita kena pastikan mereka cukup makanan," katanya.
Beliau yang mengetuai penyerahan bantuan turut mementingkan langkah pencegahan dengan pemakaian topeng muka, cecair pembasmi kuman, sarung tangan dan penjagaan jarak sosial bagi setiap petugas.
Abdul Azeez juga dilihat memeriksa bacaan suhu badan setiap individu yang dilawati termasuk kanak-kanak bagi memastikan tahap kesihatan memuaskan.
Katanya, sekiranya demam atau keadaan kesihatan tidak memuaskan, beliau sendiri akan menguruskan pesakit ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
Menurut Abdul Azeez, sepanjang PKP dilaksanakan, pihaknya menyediakan 12,000 bungkusan makanan keperluan kepada penduduk parlimen itu dengan 6,000 bungkusan telah dihantar kepada keluarga yang terputus bekalan termasuk masyarakat orang asli.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!