'Hanya orang yang benci Liverpool mahu EPL dibatalkan'
BEKAS pemain England, Gary Lineker percaya Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini tidak perlu dibatalkan dan boleh diselesaikan selepas wabak koronavirus (Covid-19) berakhir.
Menurutnya, tidak adil untuk membatalkan saingan liga ketika ini tiadak adil apatah lagi Liverpool hanya beberapa langkah lagi untuk menjulang trofi EPL sekali gus menamatkan penantian 30 tahun mereka.
Malah, beliau melabel sesetengah pihak yang mendesak untuk membatalkan liga itu sebagai pihak yang membenci pasukan The Reds.
"Saya rasa menyelesaikan liga adalah perkara yang paling betul perlu dibuat badan pentadbir liga. Namun, keadaan wabak ketika ini adalah lebih penting daripada segalanya.
"Liga boleh saja dimainkan pada bulan Jun ketika wabak itu sudah reda dan boleh dibuat tanpa kehadiran penonton. Mungkin itu bukan pengertian bola sepak sebenar (tanpa penonton), tetapi itu yang terbaik.
"Bagi saya semua orang mahu menyudahkan liga dan hanya orang yang benci Liverpool mahu liga dibatalkan," katanya.
Terdahulu, saingan EPL telah ditangguhkan akibat wabak Covid-19 yang melanda dunia ketika ini dan belum dapat dipastikan bila tarikh sebenar liga tersebut dapat disambung semula.
Ketidakpastian itu menyebabkan timbul beberapa pihak yang mencadangkan EPL perlu dibatalkan dan dimulakan semula tahun depan.
Sekiranya ia berlaku. Liverpool akan menjadi pasukan yang paling rugi kerana hanya memerlukan dua kemenangan lagi untuk menjulang trofi EPL itu.
Bekas pemain Barcelona dan Tottenham Hotpsur itu juga percaya langkah memulakan liga baharu lebih lewat musim depan juga mungkin boleh diambil oleh pengendali liga tersebut.
"Banyak perkara yang boleh dibincangkan dan akhirnya diputuskan oleh mereka (pengendali liga). Mereka perlu membuat keputusan yang tepat kerana EPL sudah hampir ke penghujung dan boleh ditamatkan mengikut kebiasaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!