Saifuddin ucap takziah atas kematian Martin Khor
Saifuddin dalam akaun rasmi Twitter, menyifatkan Khor sebagai seorang wartawan berkaliber dan pakar ekonomi yang pernah bertugas bersama dalam majlis perunding di Kementerian Luar.
“Sungguh sedih mendengar kematian seorang sahabat lama, Martin Khor. Beliau seorang wartawan berkaliber, ahli ekonomi, bekas pengarah Third World Network & South Centre, dan bekerja dengan saya dalam majlis perunding itu @MalaysiaMFA. Beliau akan tetap dikenang,” katanya.
Khor, 68, meninggal dunia pagi ini selepas bertarung dengan penyakit kanser untuk beberapa tahun.
Dilahirkan pada 1951 di Pulau Pinang, beliau seorang aktivis sosial yang tidak asing terutama dalam isu hak pengguna dan alam sekitar.
Khor pernah bertugas di Universiti Sains Malaysia dan memainkan peranan penting dalam Third World Network sebelum berpindah ke South Centre di Geneva.
Mendiang juga seorang kolumnis akhbar The Star dari 1978 hingga 2019 meninggalkan seorang isteri dan seorang anak perempuan.
Upacara pengebumian akan diadakan esok, di Mount Erskine. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!