Warga emas nyaris maut rumah terbakar
KUANTAN – Seorang warga emas nyaris maut selepas rumahnya di Jalan Kampung Jawa di sini terbakar awal pagi tadi.
Pegawai Penguasa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Norhisham Che Mohd Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam sebelum mengerahkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan ke lokasi pada jam 12.55 pagi.
Menurutnya, ketika kejadian mangsa dikenali Hassan Shaibi, 77, berada di dalam rumah kerana tidak boleh berjalan.
"Mangsa berjaya diselamatkan anggota bomba dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
"Selain itu, anggota bomba juga menyelamatkan sebuah kereta jenis Proton Perdana yang berada di kawasan rumah mangsa," katanya.
Norhisham berkata, operasi memadam kebakaran yang diketuai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, Kamarul Bieza Mohamed Kassim tamat pada jam 1.06 pagi.
"Anggaran kemusnahan 80 peratus membabitkan sebuah rumah berkeluasan 4 X30 kaki persegi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!