Prosiding hina mahkamah didengar 8 Mac
KUALA LUMPUR - Permohonan balu penyiasat persendirian P Balasubramaniam untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan seorang doktor perubatan, akan didengar 8 Mac ini.
Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azimah Omar menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya dengan diwakili peguam Americk Singh Sidhu yang mewakili balu Balasubramaniam, A. Santamil Selvi.
Americk ketika ditemui pemberita berkata, mahkamah menetapkan 8 Mac untuk mendengar permohonan berkenaan dan kemungkinan keputusan akan diberikan pada hari yang sama.
Santamil selaku pemohon memfailkan permohonan itu pada 31 Oktober tahun lepas dengan menamakan Muhammad Shafee, Abdul Azeez dan seorang doktor di sebuah hospital swasta selaku responden pertama hingga ketiga.
Permohonan itu difailkan atas alasan kesemua responden didakwa menghalang ahli perniagaan, J. Deepak daripada disoal balas berhubung afidavit difailkan ahli perniagaan tersebut bersama penyataan pembelaannya dalam kes saman dikemukakan Santamil.
Dalam permohonan itu, Santamil mendakwa Muhammad Shafee, yang sebelum ini mewakili Deepak dalam kes saman tersebut, dengan sengaja dan secara palsu memaklumkan kepada mahkamah bahawa Deepak tidak dapat hadir untuk disoal balas kerana sakit dan sesalinan laporan perubatan dari sebuah hospital kerajaan telah dikemukakan kepada mahkamah.
Prosiding itu yang sepatutnya berlangsung pada 19 Mac tahun lepas ditangguhkan ke 27 Mac tahun sama. Namun, pada 27 Mac pemeriksaan balas ke atas Deepak ditangguhkan sekali lagi ke 13 April berikutan Muhammad Shafee mengemukakan sesalinan laporan perubatan disediakan oleh responden ketiga (doktor) untuk menangguhkan prosiding berkenaan.
Santamil juga mendakwa prosiding pada 13 April juga ditangguhkan selepas Muhammad Shafee memaklumkan kepada mahkamah bahawa Deepak tidak dapat hadir kerana masalah kesihatan.
Wanita itu mendakwa Deepak telah membuat laporan polis yang menyatakan bahawa ketiga-tiga responden bersekongkol antara satu sama lain untuk menghalangnya (Deepak) daripada menghadiri prosiding mahkamah dengan mengemukakan laporan perubatan palsu.
Dalam afidavit yang difailkan bersama permohonan itu, Santamil mendakwa Deepak telah dipaksa supaya tidak hadir ke mahkamah untuk disoal balas dan dihalang daripada memberitahu perkara sebenar mengenai penglibatan Datuk Seri Najib Tun Razak, yang sebelum ini dinamakan sebagai defendan dalam kes saman tersebut.
Saman berkenaan difailkan Santamil bersama tiga anaknya bagi menuntut kerugian yang ditanggung mereka sepanjang berada di Chennai, India selama 56 bulan bermula 4 Julai 2008 selepas pendedahan P.I. Bala dalam akuan bersumpah keduanya dalam kes pembunuhan wanita warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.
P.I. Bala merupakan saksi utama dalam perbicaraan kes pembunuhan Altantuya pada 2006. P.I. Bala meninggal dunia akibat serangan jantung pada 15 Mac 2013, beberapa minggu setelah pulang dari India. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!