510 gelandangan diselamatkan bendung Covid-19

Gelandangan beratur menunggu giliran mendapatkan makanan di Pusat Komuniti Sentul Perdana hari ini. -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Gelandangan beratur menunggu giliran mendapatkan makanan di Pusat Komuniti Sentul Perdana hari ini. -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

SENTUL - Lelaki warga Jepun dan Korea antara 510 gelandangan yang diselamatkan dalam operasi membendung wabak Covid-19 yang dilaksanakan sekitar ibu kota selama lima hari sejak Khamis lalu.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, tujuh agensi terlibat dalam operasi tersebut termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Kesihatan Malaysia dan lain-lain.

Menurutnya, operasi menumpukan kepada 14 kawasan antaranya Masjid Negara, Kotaraya, Pasar Seni, KL Sentral, Masjid Jamek dan lokasi yang kerap menjadi persinggahan gelandangan.

"Kesemua gelandangan ditempatkan di Pusat Transit Gelandangan Jalan Pahang dan Anjung Singgah Jalan Hang Lekiu yang dikendalikan oleh Yayasan Kebajikan Negara," katanya selepas meninjau Pusat Penempatan Sementara gelandangan di Pusat Komuniti Sentul Perdana di sini hari ini.

Beliau berkata, selain itu, DBKL turut membuka empat pusat penempatan sementara iaitu Pusat Komuniti Sentul Perdana yang menempatkan 181 penghuni, Dewan Serbaguna Tasik Ampang Hilir (62), Pusat Komuniti Setiawangsa (95) dan Dewan Serbaguna Alam Damai (30).

Kemudahan bantal dan tilam yang disediakan di pusat sementara gelandangan di Pusat Komuniti Sentul Perdana di sini. -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
Kemudahan bantal dan tilam yang disediakan di pusat sementara gelandangan di Pusat Komuniti Sentul Perdana di sini. -Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM

Beliau berkata, penempatan sementara itu akan beroperasi sehingga 14 April ini selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sebelum gelandangan itu diserahkan kepada jabatan berkaitan.

"Kos keseluruhan bagi kebajikan gelandangan itu lebih RM1.5 juta meliputi kemudahan asas termasuk bantal dan tilam, barang mandian, makan dan minum selain bil utiliti serta penempatan.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua gelandangan ini dibahagikan kepada tiga kategori iaitu gelandangan warganegara yang sihat (pengasingan lelaki dan wanita), gelandangan bermasalah sakit berjangkit mental dan penagihan dadah, kategori ketiga ialah gelandangan bukan warganegara," katanya.

Dalam pada itu katanya, pihaknya berharap kebajikan golongan ini diteruskan selepas berakhir PKP dengan menambah baik sistem pengkalan data.

"Kita belum ada jumlah tepat gelandangan di ibu kota. Masalah ini boleh diatasi melalui pelaksanaan sistem biometrik yang diselaraskan bersama JKM," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!