Sorok sisik tenggiling RM78 juta bawah guni kacang gajus

JKDM merampas 6,160 kilogram sisik tenggiling di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, semalam.
JKDM merampas 6,160 kilogram sisik tenggiling di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang, semalam.
A
A
A

PELABUHAN KLANG - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas sisik tenggiling bernilai RM78 juta dalam operasi di Pelabuhan Utara, di sini, semalam.

JKDM dalam satu kenyataan berkata, rampasan dibuat sepasukan anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Zon Tengah Unit II (Selangor) selepas memeriksa sebuah kontena yang diikrarkan membawa kacang gajus.

"Pemeriksaan di dalam kontena terbabit menemui sisik tenggiling seberat 6,160 kilogram yang disorok di sebalik guni-guni yang berisi kacang gajus.

"Pengimportan sisik tenggiling adalah dilarang mengikut Butiran 1, Bahagian III Jadual Ketiga Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2017 kecuali dengan adanya kelulusan permit import dari Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan)," katanya hari ini.

Tambahnya, sisik tenggiling juga dikategorikan sebagai larangan import mengikut Jadual Ketiga, Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686) kecuali dengan kelulusan permit.

Katanya, pihaknya sedang menyiasat pengimport dan ejen yang terlibat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

"Orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta diingatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

"JKDM juga menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri. Pihak JKDM juga memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!