Bakal pengantin ingkar PKP didenda RM1,000
ALOR GAJAH - Bakal pengantin masing-masing dijatuhi hukuman denda RM1,000 oleh Mahkamah Sesyen Alor Gajah di sini semalam selepas mengaku bersalah kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di kawasan Pegoh di sini Sabtu lalu.
Hakim Ahmad Sazali Omar menjatuhi hukuman itu terhadap Muhammad Farhan Mat Kais, 30, yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dan tunangnya, Norain Mohamed, 28, yang bekerja sebagai kerani.
Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka secara bersama-sama didakwa telah bergerak dari satu tempat ke suatu tempat yang lain tanpa sebab munasabah di dalam mana-mana kawasan tempatan jangkitan bertempat di kawasan kilang Honda di daerah tersebut kira-kira jam 6.30 petang pada 28 Mac lalu.
Mereka didakwa mengikut Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang dihukum di bawah Perkara 7 Peraturan sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Intan Lyiana Zainal Abidin mencadangkan hukuman setimpal kerana melanggar arahan PKP dengan memberikan alasan tidak munasabah iaitu untuk membuat pengeluaran wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di kilang tersebut sedangkan terdapat mesin ATM berhampiran rumah mereka.
Bagaimanapun, Muhammad Farhan merayu hukuman denda diringankan kerana perlu menggunakan wang yang banyak bagi persiapan perkahwinan mereka pada Julai depan manakala Noraini pula merayu minta hukuman diringankan kerana belum mendapat gaji berikutan baharu sebulan bekerja.
Sementara itu, di mahkamah sama seramai 16 individu termasuk enam warga asing berusia 25 hingga 45 tahun juga mengaku salah terhadap pertuduhan melanggar PKP.
Ahmad Sazali mengenakan hukuman denda RM900 setiap seorang terhadap lapan individu itu manakala yang lain dikenakan hukuman denda RM1,000 atau sebulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!