Direman kerana aksi 'wheelie' depan polis ketika ops PKP
MARANG - Mahkamah Majistret Marang hari ini membenarkan perintah reman selama empat hari bermula hari ini ke atas seorang remaja bagi membantu siasatan berhubung kes ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda membenarkan suspek yang berusia 16 tahun untuk siasatan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan Peraturan 7 (1), Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam tadi berhampiran lampu isyarat di Seberang Marang, remaja berkenaan dikatakan melakukan aksi wheelie di hadapan polis seolah-olah mahu mempersendakan pihak berkuasa selain bertindak nekad melarikan diri ketika ditahan.
Menurut sumber, sepasukan pegawai dan anggota yang sedang melakukan pemantauan pematuhan PKP di lokasi terserempak dengan suspek yang sedang menunggang motosikal secara melawan arus menghala ke Dungun sebelum berpatah balik sambil membuat aksi ‘wheelie’.
“Suspek kemudian memecut motosikal ke arah Bandar Marang anggota terbabit mengejar remaja itu sebelum dia memberhentikan kenderaannya.
“Bagaimanapun, suspek kemudiannya memecut semula motosikalnya sebelum berjaya ditahan di satu simpang di Taman Kalungan Melor dengan bantuan Unit Rondaan Bermotosikal (URB).
“Pemeriksaan mendapati suspek gagal memberi keterangan mengenai motosikal yang ditunggangnya berikutan enjin gagal dibaca selain tiada alasan munasabah kerana berada di luar rumah dan menghalang penjawat awam melakukan tugas.
"Suspek kemudiannya dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang untuk siasatan lanjut,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!