Ingkar PKP: Lagi 88 individu dihadapkan ke mahkamah
KUALA LUMPUR - Hari ke-15 Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyaksikan masih ramai yang ingkar arahan itu dan hari ini, sejumlah 88 individu didakwa atas pelbagai kesalahan di Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen di beberapa negeri.
Kesalahan paling banyak dilakukan ialah gagal mematuhi PKP dengan bergerak dari satu tempat ke tempat lain dalam mana-mana tempat jangkitan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara enam bulan dan denda RM1,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Ada juga didakwa menghalang tugas penjawat awam dalam menjalankan fungsi mereka semasa tempoh PKP mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.
Seorang lelaki didakwa mengikut Seksyen 21 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 14 hari atau denda RM25 atau kedua-duanya.
Sejumlah 33 individu dihadapkan ke beberapa Mahkamah Majistret di sekitar Lembah Klang.
Di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, 13 tertuduh didenda RM1,000 atau penjara enam minggu selepas mereka mengaku bergerak dari satu tempat ke tempat lain termasuk untuk melepak di tangga, membaiki motosikal, bersenam dan menyiram pokok antara 28 hingga 31 Mac lepas.
Mereka terdiri daripada pelayan restoran, pengawal keselamatan, suri rumah dan pelajar berusia lingkungan 19 hingga 35 tahun manakala tiga gelandangan dalam kumpulan itu, yang mengaku melakukan kesalahan sama, dihukum penjara dua bulan.
Di Mahkamah Majistret Ampang, seorang pemain bola sepak yang beraksi dengan sebuah kelab amatur tempatan iaitu Ahmad Lutfi Azizul Rahman, 22, didenda RM800 atau penjara sebulan kerana ingkar PKP dengan melakukan senaman di luar rumahnya.
Mengikut fakta kes, anggota polis yang membuat rondaan di kawasan itu telah menegur Ahmad Lutfi kerana melakukan senaman di luar rumah berhampiran kolam renang di Kondominium Mutiara, Taman Bukit Indah, Ampang pada 5.15 petang 27 Mac lalu.
Bagaimanapun, tertuduh telah mengeluarkan suara seperti tidak berpuas hati dan anggota polis itu sekali lagi mengarahnya untuk masuk ke dalam rumah susulan pelaksanaan PKP namun Ahmad Lutfi enggan berbuat demikian.
Lapan lelaki, termasuk dua warga Indonesia, berusia lingkungan 21 hingga 40 tahun didenda RM600 atau penjara sebulan kerana bergerak dari satu kawasan jangkitan ke kawasan jangkitan lain sekitar Ampang antara 22 Mac dan 29 Mac lepas, manakala seorang remaja berumur 14 tahun yang mengaku melakukan kesalahan sama belum dijatuhi hukuman kerana menunggu laporan akhlak pada 1 Julai.
Tukang masak Kuan Sin Choon, 44, dijatuhi hukuman penjara sebulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret Kajang kerana menghalang polis melakukan pemeriksaan serta berkumpul di depan sebuah kedai serbaneka tanpa tujuan.
Bagi kesalahan menghalang penjawat awam, mahkamah menjatuhi hukuman penjara sebulan dari dia ditangkap iaitu pada 27 Mac lalu dan denda RM1,000 atau penjara sebulan bagi kesalahan berada dalam kawasan jangkitan tanpa sebarang tujuan sekitar Cheras.
Di Mahkamah Majistret Selayang, seorang penganggur M.Omer, 59, dijatuhi hukuman denda maksimum RM25 atau penjara 14 hari kerana berkelakuan tidak senonoh terhadap pegawai polis yang bertugas semasa PKP iaitu dengan sengaja menunjukkan botol arak ke arah penjawat awam itu.
Dia didakwa melakukan perbuatan itu di tepi jalan Batu Caves, Gombak pada 6.45 petang 27 Mac lepas mengikut Seksyen 21 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara 14 hari atau denda RM25 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.
Lima lelaki berumur lingkungan 29 hingga 35 tahun pula mengaku tidak bersalah atas pertuduhan berhimpun dalam kawasan tempat jangkitan pada 10.30 malam 28 Mac lepas dan mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin serta menetapkan 10 Jun untuk sebutan semula kes.
Di NEGERI SEMBILAN, dua lelaki dan seorang wanita masing-masing didenda RM1,000 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret Port Dickson kerana berada di kawasan jangkitan tanpa alasan munasabah.
Pengawal keselamatan Hashim Mohamad Yusof, 57, pemandu kren J. Jonathan, 22, dan penyambut tetamu Haslinda Sulaiman, 25, didakwa melakukan kesalahan itu antara 7 malam hingga 12.45 malam pada 28 dan 29 Mac.
Di MELAKA, sejumlah 41 individu termasuk 12 warga asing dihadapkan ke tiga mahkamah di negeri itu kerana berhimpun dan bergerak dari satu tempat ke tempat lain dalam kawasan jangkitan.
Di Mahkamah Majistret Melaka Tengah, Majistret Muhammad Nazrin Ali Rahim menjatuhi hukuman denda RM500 hingga RM1,000 atau penjara sebulan hingga empat bulan ke atas 16 lelaki berusia lingkungan 20 hingga 50 tahun serta seorang remaja lelaki berumur 17 tahun.
Kesemua tertuduh, termasuk empat warga Nepal, seorang warga Bangladesh dan seorang warga Pakistan, mengaku bersalah.
Sejumlah 18 individu, termasuk enam warga asing berumur lingkungan 25 hingga 45 tahun telah didenda antara RM900 dan RM1,000 atau sebulan penjara oleh Mahkamah Sesyen Alor Gajah selepas mengaku melakukan kesalahan sama.
Di Mahkamah Majistret Jasin, enam individu berumur lingkungan 23 hingga 45 tahun didenda RM1,000 atau dua bulan penjara kerana mengingkari arahan PKP.
Di KEDAH, 11 lelaki berumur lingkungan 23 hingga 40 tahun didenda RM1,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret Sungai Petani selepas mengaku melanggar arahan PKP antara 25 hingga 29 Mac lepas. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!