MDSB disinfeksi Pasar Awam Sekinchan
SABAK BERNAM - Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) melakukan semburan disinfeksi atau nyahkuman di Pasar Awam Sekinchan bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Yang Dipertuanya, Mohd Faizul Fitri Muslil berkata, operasi semburan disinfeksi itu dilakukan dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sekinchan, Ng Suee Lim dan Pejabat Kesihatan Daerah Sabak Bernam.
"Seramai lima anggota Unit Vektor MDSB dengan pakaian khas digerakkan dalam melakukan semburan mengikut tatacara keselamatan yang ketat.
"Semburan dilakukan pada beberapa bahagian dalam pasar awam itu termasuk lantai dan dinding bangunan bagi memastikan kawasan ini bebas kuman," katanya.
Mohd Faizul berkata, meskipun tiada kes jangkitan Covid-19 di pasar itu, namun pihaknya amat menitikberatkan soal keselamatan dan tahap kebersihan di pasar awam.
Menurutnya, pihaknya juga merancang melakukan kerja semburan disinfeksi di pasar awam lain secara berperingkat dan mengikut jadual ditetapkan.
Katanya, sehubungan itu peniaga dan orang awam diminta mematuhi arahan Kementerian Kesihatan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pihak berkuasa dari semasa ke semasa bagi mengelakkan ancaman wabak Covid-19.
"Jaga kebersihan diri dengan kerap mencuci tangan, mengamalkan langkah menjarakkan diri (social distancing) sekurang-kurangnya satu meter apabila berdepan dengan individu lain.
"Orang ramai juga dinasihatkan mematuhi peraturan sepanjang PKP ini dengan tidak keluar rumah tanpa tujuan yang munasabah dan penting serta digalakkan memakai topeng muka selain menggunakan hand sanitizer (cecair basmi kuman)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!