Menunggu penuh harapan
DALAM kegawatan menghadapi wabak Covid-19, tiba-tiba dalam satu kumpulan WhatsApp ada satu mesej yang sangat menarik perhatian saya.
Mesejnya begini (dengan sedikit ubah suai): “Dari remaja sampai tua aku tunggu apa itu Wawasan 2020? Kena kurung rupanya.”
Wawasan 2020 yang diperkenalkan pada tahun 1991 mempunyai sembilan matlamat utama.
Kesembilan matlamat tersebut adalah bertujuan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara perindustrian dan negara maju sepenuhnya menjelang tahun 2020 dalam semua bidang termasuk ekonomi, politik, sosial, kerohanian, psikologi serta perpaduan nasional dan sosial.
Saya tertarik kepada sembilan cabaran yang disenaraikan dalam Wikipedia dan juga pautan-pautan berkaitan seperti laman sesawang pejabat Perdana Menteri sebagaimana berikut:
Cabaran 1: Membina bangsa Malaysia yang bersatu padu;
Cabaran 2: Membina masyarakat berjiwa bebas, tenteram dan berkeyakinan;
Cabaran 3: Memupuk dan membina masyarakat demokratik yang matang;
Cabaran 4: Mewujudkan masyarakat yang bermoral dan beretika;
Cabaran 5: Mewujudkan masyarakat yang matang, liberal dan bertoleransi;
Cabaran 6: Membina masyarakat yang maju dan saintifik;
Cabaran 7: Mewujudkan masyarakat berbudaya penyayang;
Cabaran 8: Menjamin masyarakat yang adil dan saksama ekonominya; dan
Cabaran 9: Memupuk dan membina masyarakat makmur.
Melihat kepada hakikat dan kenyataan yang berlaku pada hari ini, sama ada suka atau tidak, kita terpaksa akur bahawa kesembilan cabaran tersebut masih belum tercapai sepenuhnya.
Kita masih gagal mewujudkan masyarakat Malaysia yang bersatu padu. Perpaduan sesama Melayu sendiri pun masih gagal apatah lagi perpaduan antara pelbagai kaum.
Kebanyakan rakyat Malaysia juga masih tidak punya jiwa yang kuat dan berkeyakinan pada keupayaan diri sendiri. Kita masih banyak bergantung kepada orang lain untuk selesaikan masalah kita.
Rakyat Malaysia juga masih belum benar-benar matang dalam aspek demokrasi. Mujibu Abdul Muis dalam Sinar Harian pada 2019 ada menyatakan bahawa meraikan perbezaan adalah tonggak utama dalam amalan demokrasi.
Namun sehingga tahun 2020 ini, kita tidak nampak unsur meraikan perbezaan dalam kebanyakan masyarakat Malaysia apatah lagi dalam kalangan kebanyakan pemimpin politik dan pemimpin kerajaan yang memerintah.
Pada tahun 2020, kita masih tidak dapat melihat masyarakat Malaysia sebagai masyarakat yang bermoral dan beretika. Ada sahaja laporan di dada akhbar dan media sosial tentang kegiatan yang tidak bermoral dan beretika.
Sehingga tahun 2020 juga kita masih gagal melihat kadar toleransi yang tinggi antara masyarakat Malaysia. Sifat pentingkan diri, bangsa sendiri dan kelompok sendiri masih bermaharaja lela dalam kebanyakan masyarakat Malaysia.
Malaysia masih jauh untuk menjadi masyarakat yang saintifik dan progresif. Walaupun kadar pengguna teknologi makin meningkat tetapi ia belum sampai ke satu tahap yang boleh dibanggakan apatah lagi daripada aspek inovasi baharu dalam bidang ini.
Daripada aspek masyarakat yang penyayang pula, memang ramai rakyat Malaysia yang penyayang tetapi adakah ia sudah sampai pada satu tahap yang membolehkan kita dianugerah “masyarakat Malaysia masyarakat penyayang”? Keadilan dalam pengagihan kekayaan juga masih jauh.
Ini kerana ramai lagi yang hidup dalam serba kekurangan dalam tahun 2020.
Malah untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang makmur juga perlukan banyak masa lagi jika lapan cabaran sebelumnya masih gagal diatasi.
Sebagai rakyat Malaysia, saya masih setia menunggu untuk melihat apa yang dicita-citakan tersebut menjadi kenyataan suatu hari nanti meskipun Wawasan 2020 sudah disimpan dalam album.
* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!