PKP: Jangan dilupakan kucing jalanan

Bukan saja bekas makanan tapi sebalang makanan kucing turut diletakkan Nurul Azreen supaya orang ramai boleh menambahnya jika sudah habis.
Bukan saja bekas makanan tapi sebalang makanan kucing turut diletakkan Nurul Azreen supaya orang ramai boleh menambahnya jika sudah habis.
A
A
A

PORT DICKSON - Simpati dengan nasib kucing jalanan yang turut terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan koronavirus (Covid-19), seorang pemilik restoran mengambil inisiatif meletakkan makanan di tiga lokasi tumpuan ramai di PD Waterfront di sini.

Nurul Azreen Sultan, 27, berkata, haiwan berkenaan terputus sumber makanan berikutan larangan makan di restoran dan kedai makan ketika ini selain banyak yang tidak beroperasi.

“Memang dah jadi rutin saya untuk beri kucing dan anjing jalanan makan di situ sebelum PKP lagi. Saya pun memang ada letak bekas makanan kucing di tepi restoran.

“Tapi bila tak dapat berniaga, saya terfikir bagaimana nasib haiwan jalanan ini dan sebab itu saya ambil inisiatif letak bekas makanan kucing dan sebotol air berserta nota minta orang ramai yang lalu di situ untuk menambah makanan dalam bekas disediakan jika ia sudah habis," katanya kepada Sinar Harian.

Nurul Azreen yang sukakan kucing.
Nurul Azreen yang sukakan kucing.

Menurutnya, kebiasaannya sebelum ini, lebih daripada 20 ekor kucing yang akan datang makan di situ.

Azreen berkata, dia sememangnya sukakan kucing dan mempunyai 30 ekor kucing di rumah yang kebanyakannya adalah kucing jalanan.

“Saya tak sampai hati bila mengenang nasib kucing jalanan ini sebab dalam keadaan sekarang mana lagi tempat mereka nak cari makan bila semuanya ditutup.

Artikel Berkaitan:

“Saya nak pergi ke situ hari-hari bagi makanan pun susah dalam tempoh PKP ini. Sebab itu saya terus letak bekas makanan dan sebotol air yang membolehkan sesiapa pun jika lalu di situ ‘topup’," katanya.

Nurul Azreen turut tinggalkan nota buat orang ramai yang lalu di situ.
Nurul Azreen turut tinggalkan nota buat orang ramai yang lalu di situ.

Dia turut berharap inisiatif yang dilakukannya itu dapat diikuti orang lain bagi memastikan haiwan jalanan tidak putus sumber makanan.

"Kita jangan lupa haiwan jalanan ini yang turut terjejas dan sebab itu saya letak di tiga lokasi yang saya tahu di situ banyak kucing.

"Harapnya dengan apa yang kita buat ini, ALLAH akan murahkan rezeki kita," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!