'Fly' langgar penghadang jalan tiada tanda amaran
KLANG - Brotherhood Malaysia memuat naik gambar seorang penunggang motosikal yang mengalami kecederaan di bahu apabila motosikal yang ditunggang merempuh sekatan.
Kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 di Klang, di sini semalam, namun tidak dinyatakan lokasi sebenar.
Pengasas Ikatan Silaturahim Brotherhood, Azlan Sani Zawawi berkata, mangsa mendakwa Majlis Perbandaran Klang (MPK) tidak memasang lampu amaran di jalan yang ditutup itu dan kawasan gelap.
Beliau yang dikenali sebagai Lando Zawawi turut memuat naik status, "Diorang tutup jln tu, jalan masa tu 6.30 pagi, MPK tak pasang tanda amaran jarak 100 ke 200 meter, aku eksiden, lama juga baru orang perasan.
"Lampu jalan ada tapi tak berfungsi, 90 kilometer 'fly' (terbang) juga aku dibuatnya," tulisnya.
Sementara itu Lando menggesa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengutamakan keselamatan terhadap sekatan yang dipasang di beberapa jalan yang ditutup.
"Kita tidak pertikaikan penutupan jalan tetapi perlu mematuhi syarat yang ditetapkan. Saya difahamkan di lokasi kejadian tiada lampu amaran. Ini membahayakan nyawa pengguna," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Jelasnya, teguran itu bukan untuk mempertikaikan mana-mana pihak tetapi penting untuk keselamatan pengguna jalan raya.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Korporat Norfiza Mahfiz menerusi kenyataan memaklumkan akan melakukan siasatan terperinci mengenai insiden yang berlaku.
Katanya, MPK diminta oleh pihak keselamatan menyediakan halangan berkenaan dan beberapa perkara teknikal yang melibatkan agensi lain.
"MPK juga meminta pihak polis melakukan siasatan selain bekerjasama dengan JKR bagi menyelesaikan masalah itu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!