KPKT sasar 41 PPR seluruh negara jalani sanitasi awam
PETALING JAYA - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyasarkan pelaksanaan program Sanitasi Awam untuk nyah cemar bagi menyekat penularan koronavirus (Covid-19) di 41 kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh negara.
Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata, sasaran itu akan dicapai sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKD) yang ketika ini berkuat kuasa sehingga 14 April.
“Ketika ini, operasi projek rintis dilaksanakan di sekitar Lembah Subang yang dijangka selesai Selasa depan.
“Kita akan buat operasi di 41 PPR seluruh negara. Untuk menjayakan program ini, kita dibantu pelbagai agensi di bawah KPKT. Kita mahu penduduk PPR juga bebas daripada Covid-19,” katanya selepas hadir Program Sanitasi Covid-19 di PPR Taman Putra Damai, Lembah Subang 1 di sini hari ini.
Zuraida berkata, proses itu dilakukan menerusi tiga kaedah iaitu semburan di luar rumah, semburan kabus dan mengelap.
“Bagi semburan kabus dan mengelap, ia dilakukan di dalam rumah. Proses nyah cemar di dalam rumah menggunakan cecair disinfeksi berbeza kerana ia tidak mengandungi alkohol dan selamat untuk penghuni,” katanya.
Katanya, sebanyak lapan blok mengandungi 3,004 unit di PPR Taman Putra Damai menjalani proses berkenaan, dengan 25 peratus daripada penduduk mahu proses sanitasi turut dilakukan di dalam rumah masing-masing.
Pada masa sama, katanya, projek rintis di PPR itu adalah bertujuan menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang juga akan diguna pakai bagi program sama di PPR lain.
“Kita ada tiga pasukan. Untuk satu blok ambil masa sehari. Setiap petugas akan bekerja maksimum empat jam. Saya dapati gerak kerja teratur setakat ini,” katanya.
Menurut Zuraida, pihaknya juga menerima tawaran daripada syarikat korporat yang ingin turut serta menjalankan proses nyah cemar di 800,000 unit kediaman di seluruh negara.
"Kita juga akan tumpukan kepada projek perumahan lain, selain daripada PPR bagi memenuhi kuota 800,000 unit tajaan syarikat ini," katanya.
Ditanya mengenai pertemuan dengan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah semalam bagi membincangkan SOP penyemburan nyah cemar, Zuraida berkata, perbincangan berjalan lancar dan perkara berbangkit telah selesai.
"Prosedur dilakukan pihak berkuasa tempatan (PBT) sepanjang operasi nyah cemar di kawasan awam sebelum ini adalah mengikut garis panduan Kementerian Kesihatan dan tidak lari sedikit pun daripada SOP berkenaan,” kata Zuraida.
Tegasnya, pihak KPKT akan mendedahkan SOP berkenaan kepada umum bagi memastikan tidak timbul sebarang spekulasi mengenai operasi apabila masyarakat faham dan berpuas hati dengan keseluruhan prosedur itu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!