Ramsay Sime Darby Health Care bantu Hospital Selayang
SHAH ALAM – Ramsay Sime Darby Health Care (RSDH) menyumbangkan empat unit ventilator kepada Hospital Selayang bagi membantu proses rawatan pesakit wabak koronavirus (Covid-19).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Greg Brown berkata, sumbangan itu merupakan salah satu usaha kolektif pihaknya dalam menyokong sektor kesihatan awam yang kini menjadi cabaran paling besar buat negara dan rakyat.
“Kami percaya dengan sumbangan dari RSDH ini dapat membantu mengurangkan kebimbangan terhadap kekurangan ventilator di hospital-hospital kerajaan ketika ini.
“Dengan adanya kemudahan-kemudahan ini (sumbangan ventilator) secara tidak langsung membolehkan pihak hospital menyediakan perkhidmatan terbaik untuk pesakit Covid-19 di premis mereka (Hospital Selayang),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Brown berkata, selari dengan sebahagian usaha dan komitmen untuk membantu sektor kesihatan awam, semua kemudahan RSDH, iaitu Pusat Perubatan Subang Jaya, Pusat Perubatan Ara Damansara dan Pusat Perubatan ParkCity kini menyediakan Ujian Swab Hidung dan Tekak untuk individu yang mempunyai gejala.
“Hasil ujian akan siap dalam tempoh 24 hingga 48 jam dan kami menerima 'walk-in', tanpa temu janji.
“Ujian ini berharga RM630 termasuk perundingan perubatan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!