Jawi anjur Program Wilayah Persekutuan Bermunajat mulai malam ini
SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) akan menganjurkan Program Wilayah Persekutuan Bermunajat bermula malam ini sehingga 13 April depan.
Jawi dalam satu kenyataan berkata, program itu akan bermula jam 7.50 malam selepas solat Maghrib secara serentak di masjid, surau serta kediaman masing-masing di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
“Program Wilayah Persekutuan Bermunajat ini bermula malam ini dan seterusnya, 4, 7, 9 dan 13 April.
“Kaedah pelaksanaan program ini adalah dengan memastikan imam yang bertugas di masjid, surau Jumaat dan surau membacakan teks zikir dan doa yang telah disediakan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dengan menggunakan pembesar suara yang jelas didengar,” katanya.
Kenyataan itu turut menjelaskan, inisiatif itu diambil bagi menyeru seluruh umat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan untuk bermunajat dan berdoa kepada ALLAH SWT agar penularan wabak koronavirus (Covid-19) dapat segera dibendung serta negara Malaysia sentiasa mendapat perlindungan dan kesejahteraan daripada ALLAH SWT.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!