Padah buat 'kerja kotor'
PETALING JAYA - Dua pekerja kilang warga Bangladesh masing-masing dijatuhi hukuman denda RM2,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mencari pelanggan bagi maksud pelacuran, dua tahun lalu.
Hakim Hilmiah Yusof menjatuhkan hukuman itu terhadap Sariful Islam dan Atikur Rahman, kedua-duanya berusia 26 tahun selepas mereka menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan pilihan yang dibacakan dalam bahasa Bengali ke atas mereka.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman penjara dua bulan sekiranya denda gagal dibayar.
Mengikut pertuduhan pilihan, mereka bersama-sama dua lagi yang telah dijatuhi hukuman, didapati telah mencari langganan bagi maksud persundalan di premis persundalan itu di Pusat Perdagangan BS, Taman Bukit Serdang, Seri Kembangan, di sini, pada 10 malam, 27 Oktober 2017.
Mengikut fakta kes, sepasukan polis telah membuat serbuan di tempat kejadian dan mendapati dua lelaki (kedua-dua tertuduh) yang menjaga pintu premis persundalan itu sedang mencari pelanggan dengan cara menawarkan, mengajak dan mengutip wang pelanggan yang diperoleh melalui aktiviti tersebut.
Antara barangan yang dirampas dalam serbuan itu adalah 10 keping kondom, dua tiub pelincir, keratan kertas yang mengandungi bayaran khidmat seks serta wang tunai bernilai RM780, di mana pelanggan pusat pelacuran tersebut kebanyakannya terdiri daripada pekerja warga asing.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim memohon mahkamah menjatuhkan hukuman sesuai mengambil kira faktor kesalahan yang dilakukan merupakan antara punca masalah sosial dan rumahtangga di negeri ini.
“Kes seperti ini bukan sahaja salah dari segi undang-undang tetapi juga salah dari segi agama dan moral, oleh itu mohon hukuman yang dapat meninggalkan kesan dan pengajaran kepada kedua-dua tertuduh," katanya.
Bagaimanapun, kedua-dua tertuduh yang diwakili peguam Harchanranjit Singh merayu hukuman ringan berbentuk denda atas alasan mereka telah insaf dan tidak akan mengulangi kesalahan sama. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!