KKM keluarkan SOP pelaksanaan sanitasi awam
PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan sanitasi awam yang lebih efektif bagi membendung penularan wabak koronavirus (Covid-19).
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini berikutan terdapat banyak aduan berhubung cara proses nyah cemar berkenaan dilaksanakan pada masa ini.
"Ada yang mengadu tidak mengikut peraturan dan sebagainya, jadi KKM telah membangun dan mengeluarkan satu SOP tentang bagaimana cara setiap nyah cemar dilaksanakan.
"Nyah cemar ini akan dilaksana bukan sahaja di tempat awam tetapi akan diteruskan dari rumah ke rumah," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-menteri Mengenai PKP di sini hari ini.
Sebelum ini, terdapat kebimbangan daripada beberapa pihak terhadap pelaksanaan proses sanitasi awam yang dikhuatiri tidak menepati SOP KKM.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!