"Nak nangis tengok Kak Shima": Azuan
SEMENJAK beberapa hari ini, isu artis dan bantuan kerajaan semakin hangat diperkatakan dan menjadi bahan bualan ramai terutamanya netizen.
Situasi semakin memuncak apabila ada yang ingin membawa kes tersebut kemuka pengadilan.
Bagaimanapun di sebalik konflik tersebut, masih ramai yang tampil menghulurkan bantuan kepada artis-artis veteran yang telah uzur dan mengalami masalah kesihatan, ditambah lagi dengan keadaan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Jemaah tabligh yang juga segelintir daripadanya merupakan mereka yang pernah bergelar anak seni tampil memberikan bantuan ke rumah beberapa orang artis veteran turut mendapat perhatian ramai.
Melalui perkongsian di Facebook milik Azuan Mazlan, seorang selebriti yang sedang bergiat aktif bersama jemaah tabligh, beliau telah memuat naik beberapa gambar dirinya bersama jemaah tabligh menyampaikan sumbangan kepada artis veteran antaranya Shima, Hail Amir dan juga Mak Jah.
Melalui Facebooknya, beliau turut meluahkan rasa sedih sewaktu menziarahi Shima.
"Saya memang rasa nak nangis bila tengok Kak Shima yang susah dan kudratnya yang lemah," luahnya.
Melihat kiriman tersebut, netizen majoritinya mengucapkan terima kasih kepada Azuan dan jemaah tabligh yang lain kerana sudi menghulurkan bantuan kepada artis-artis yang pernah memeriahkan industri seni tanah air.
"Subhanallah. Hanya Allah yang dapat membalas segala kerja-kerja amal anda semua. Tanpa mengenal erti penat," tulis pengguna Facebook bernama Rohani Ghani.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!