Bantuan Perkasih N9 untuk semua

Saudara baru, Choo Poo Kim, 54, ketika mengambil barangan sumbangan Perkasih N9 selepas barangan makanan habis di rumahnya di Kampung Sri Parit, Lukut, Port Dickson.
Saudara baru, Choo Poo Kim, 54, ketika mengambil barangan sumbangan Perkasih N9 selepas barangan makanan habis di rumahnya di Kampung Sri Parit, Lukut, Port Dickson.
A
A
A
PORT DICKSON - Seorang lelaki mualaf terharu menerima bantuan daripada Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih (Perkasih N9) semalam selepas mengalami masalah kewangan kerana tidak bekerja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Choo Poo Kim, 54, tidak menyangka permohonannya melalui panggilan telefon mendapat perhatian pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu yang tidak mengambil masa lama untuk menyampaikan bantuan barangan dapur.

Poo Kim yang bekerja sebagai Pengawal Keselamatan di sebuah premis di Lukut memberitahu, kehidupannya terkesan sejak PKP dilaksanakan kerana dia tidak dibenarkan datang bekerja manakala duit simpanan untuk membeli keperluan keluarga juga habis.

"Saya terpaksa meminta bantuan daripada pihak yang menyediakan bantuan keperluan ini untuk keperluan hidup bersama isteri dan lima anak," katanya.

Tambahnya, kehidupan lebih sukan apabila isterinya yang juga saudara baru berbangsa Iban, Nurul Maisarah Abdullah, 36, kini menghidap sakit angin ahmar serta tidak bekerja.

Sementara itu, Pengerusi Perkasih N9, Norfadilah Mansor berkata, pihaknya hanya mengagihkan bantuan barangan makanan hasil sumbangan orang ramai untuk golongan yang memerlukan tanpa mengira kaum dan agama.

"Kita tahu ada ramai yang terkesan dengan PKP tetapi mereka perlu akur kerana tiada jalan lain untuk keselamatan jangka panjang. Semua ini memerlukan pengorbanan.

"Kami (NGO) akan bersama kerajaan cuba membantu meringankan beban orang ramai terutama bagi mereka yang bergantung dengan pendapatan harian," katanya.

Norfadilah berkata, orang ramai boleh menghubunginya jika mahu menyumbang kepada tabung Perkasih N9 untuk golongan yang memerlukan di talian 012-980 5132 (Norfadilah).
Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!