'Moratorium pinjaman LPPSA wajar diberi'
SHAH ALAM - Pemuda UMNO menggesa kerajaan mempertimbangkan secara serius terhadap keperluan menangguhkan sementara bayaran balik pinjaman perumahan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) untuk penjawat awam.
Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penangguhan berkenaan wajar dibuat agar selari dengan penangguhan bayaran balik pinjaman atau moratorium selama enam bulan dilakukan oleh institusi-institusi perbankan.
"Pemuda UMNO mengambil maklum keluhan dan harapan ramai penjawat awam termasuklah persatuan-persatuan pekerja perkhidmatan awam yang mahukan penangguhan bayaran pinjaman kepada LPPSA.
"Sebagaimana yang diumumkan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat 2020 (Prihatin) oleh kerajaan pada 27 Mac lalu, penangguhan bayaran balik pinjaman atau moratorium turut dilakukan oleh institusi-institusi perbankan selama 6 bulan untuk mengurangkan beban rakyat yang sedang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan wabak koronavirus (Covid-19).
"Pemuda UMNO berpendapat pemanjangan penangguhan bayaran balik LPPSA sedikit sebanyak dapat meringankan beban penjawat awam dan meningkatkan pendapatan yang boleh dibelanjakan (disposable income) sekali gus merancakkan ekonomi negara sebagaimana yang digariskan dalam objektif Prihatin," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, semua penjawat awam juga terkesan dengan tempoh PKP apabila mereka turut menanggung kos domestik yang tinggi.
"Ternyata perbelanjaan domestik seperti makanan, utiliti dan barangan keperluan lain turut meningkat dengan perlaksanaan PKP yang turut memberi dampak besar kepada 1.7 juta penjawat awam.
"Justeru, Pemuda UMNO berharap pihak Kerajaan khususnya LPPSA dapat memberikan pertimbangan serius terhadap rayuan para peminjam dari kalangan penjawat awam yang banyak jasanya kepada negara selama ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!