Covid-19 bukan soal tangkap jin: Mujahid
SHAH ALAM - Bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof sedih dengan dakwaan seorang individu di Facebook yang mengaku berjaya 'menangkap' virus Covid-19 dan mengurungnya dalam botol.
Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, beliau sendiri tidak tahu sama ada perlu marah atau ketawa dengan dakwaan itu.
“Kononnya dia boleh jampi Covid-19 kemudian kurung dalam botol. Ini saya tidak tahu saya perlu marah atau ketawa.
“Ini bukan soal tangkap jin. Ini sejenis virus yang perlu kepada kaedah vaksinasi itu dengan method yang saintifik,” katanya melalui rakaman videonya di Facebook.
Terdahulu, seorang lelaki mendakwa sebagai pengamal perubatan Islam menjadi tumpuan selepas mengaku mampu menangkap virus penyebab Covid-19 dan mengurungnya dalam botol.
Menerusi Facebook individu terbabit telah menunjukkan tiga rakaman video sedang menjalankan rawatan terhadap seorang pesakit.
Mengulas lanjut, Mujahid berkata, beliau tidak mempertikaikan jampi yang diamalkan namun menganggap kenyataan seperti itu membelakangi pendekatan saintifik.
Dalam masa sama, Mujahid juga mengakui terkejut dengan saranan supaya orang ramai meminum air suam ketika membahaskan isu Covid-19 baru baru ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!