359 rakyat Malaysia terkandas di India dibawa pulang hari ini

Kamarudin Jaffar
Kamarudin Jaffar
A
A
A

PUTRAJAYA - Seramai 359 rakyat Malaysia yang terkandas di Tiruchirappalli (Trichy), India telah selamat tiba menerusi dua buah pesawat sewa khas Malindo Air di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) hari ini pada jam 5.50 pagi dan jam 4.46 petang.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar dalam satu kenyataan hari ini berkata, penerbangan seterusnya dari India dijadualkan tiba ke tanah air pada 3 hingga 6 April bagi membawa pulang seramai 1,790 rakyat Malaysia lagi yang masih terkandas di India termasuk di New Delhi, Mumbai, Chennai dan Trichy.

"Bagi perkembangan rakyat Malaysia yang terkandas di Australia, seramai 266 rakyat Malaysia direkodkan masih terkandas di negara itu.

"Seramai 59 orang yang terkandas di Melbourne dijangka akan tiba di KLIA pada jam 8.30 malam ini," katanya.

Menjawab persoalan yang tular di media sosial semalam mengenai rakyat Malaysia yang terkandas di Algeria, Kamarudin yang juga Pengerusi pasukan Petugas Covid-19 Kementerian Luar Negeri berkata pihak Wisma Putra telah ambil maklum semua tentang perkara tersebut.

Kedutaan Besar Malaysia di Algeria sedang dalam proses menguruskan satu penerbangan sewaan khas bagi membawa pulang semua rakyat Malaysia yang terkandas di sana.

Ini disebabkan Kerajaan Algeria ketika ini telah menggantung operasi semua penerbangan komersial di negara tersebut.

"Berkenaan rakyat Malaysia yang terkandas di Chad, Nigeria, berdasarkan maklumat oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Abuja, Nigeria, Lapangan Terbang N’djamena Chad dijangka dibuka semula pada 3 April 2020.

Artikel Berkaitan:

"Rakyat Malaysia yang terkandas di Chad dimohon untuk terus berhubung dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Abuja melalui talian:+2347031365197," katanya.

Sementara itu, Wisma Putra melalui Perwakilan-Perwakilan Malaysia di seberang laut akan terus berusaha memastikan kebajikan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara terpelihara dan akan mengambil tindakan sewajarnya untuk membolehkan mereka kembali ke tanah air dengan selamat.

Wisma Putra turut mengalu-alukan bantuan daripada semua pihak untuk membawa pulang rakyat Malaysia yang terkesan di luar negara akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

Kamarudin turut menjelaskan sebuah syarikat di Jepun, JAGAM (Tokyo Chapter) and Jounan Shoji Co Ltd telah memberikan sumbangan sejumlah topeng muka khusus untuk kakitangan yang bertugas di Kedutaan Malaysia di Tokyo.

"Saya bagi pihak Wisma Putra, mengucapkan ribuan terima kasih atas sumbangan ini dan saya sekali lagi mengalu-alukan semua pihak untuk turut menyumbang peralatan perubatan melalui inisiatif ini.

"Semoga dengan sumbangan ini, warga Wisma Putra di luar negara mempunyai kelengkapan perubatan yang mencukupi semasa menjalankan tugas khususnya di negara yang terjejas teruk akibat Covid-19," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!