USM agih bantuan untuk petugas hadapan

No Image Caption
A
A
A

GEORGETOWN - Universiti Sains Malaysia (USM) mengagihkan pelindung muka atau face shield, cecair pencuci tangan dan topeng muka kepada petugas barisan hadapan negara.

Pegawai Perhubungan Staf USM, Zulkifli Che Hussein berkata, bantuan itu diberikan kepada hospital di Pulau Pinang, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Menurutnya, USM sentiasa bersedia untuk menghulurkan bantuan jika diperlukan di mana bila berlaku bencana, USM akan menjadi antara yang paling awal menghantar bantuan dari segi kudrat mahupun bekalan.

"Selain membantu pihak memerlukan, USM juga tidak mengetepikan lebih 3,000 penuntut USM yang berada di kampus dan di luar kampus sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

"USM menyediakan bantuan makanan kepada penuntut terlibat selain membuka 'Nerve Center' yang membolehkan ibu bapa sentiasa berhubung dengan anak-anak mereka di kampus sepanjang PKP," katanya.

Salah seorang penuntut Pusat Pengajian Kemanusiaan, Nurul Syahira Asfilamiza Mansur berkata, USM sangat peka dan cepat bertindak dalam memastikan makan minum serta keselamatan penuntut terjamin.

"Di setiap asrama, kami diletakkan almari yang sentiasa penuh dengan makanan. Kami boleh mengambilnya bila-bila masa.

"Kami juga diberi baucar makanan bernilai RM100 dan kemudiannya RM65 kerana PKP dilanjutkan. Gerai dan kedai serbaneka juga sentiasa dibuka dalam kampus," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!