Agih bantuan dengan adil: MB Terengganu

DR AHMAD SAMSURI MOKHTAR
DR AHMAD SAMSURI MOKHTAR
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengingatkan kepada semua bahagian pelaksana termasuk Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) agar berlaku adil dalam pembahagian bantuan.

Ia susulan aduan pihak-pihak tertentu yang tidak berpuas hati dengan agihan bantuan fasa ketiga kepada golongan terjejas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, bantuan itu sepatutnya diberikan kepada mereka yang memerlukan terlebih dahulu.

"Kita ada pelbagai kategori dalam masyarakat, tak kira latar belakang dan parti. Sebagaimana koronavirus (Covid-19) ini yang tidak kira kita dari mana, orang mana. Semua pihak terutamanya pihak yang menyampaikan bantuan ini tidak boleh pilih kasih dan haruslah adil.

"Berikan kepada semua tanpa mengira latar belakang, agama, warna kulit dan sebagainya. Ini adalah asas penting yang kita perlu tunjukkan di Terengganu atau di tempat-tempat lain," katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kerajaan negeri masih lagi membuka peluang kepada semua pihak sama ada individu, syarikat atau penderma lain untuk menyumbang kepada Tabung Bantuan Covid-19 Terengganu.

Jelasnya, sumbangan yang diberikan itu akan digunakan untuk membeli kelengkapan sama ada untuk barisan hadapan atau kepada mereka yang memerlukan, termasuk masyarakat yang terkesan dengan wabak Covid-19.

"Buat masa ini, dana masih dikumpul dan kita akan tengok bagaimana cara penggunaan tapi berkaitan dengan penggunaan peralatan kesihatan yang diperlukan barisan hadapan, kita akan terus gunakan untuk perkara sedemikian," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut mendoakan agar semua petugas barisan hadapan dan rakyat negeri ini agar dapat mengharungi tempoh yang sukar ketika ini dengan baik dan sebagai satu pasukan.

"Seruan kepada barisan hadapan juga, kita tahu mereka berdepan dengan tekanan yang tinggi, stres, terpaksa berjauhan dengan keluarga dan berdepan dengan risiko yang sangat menakutkan. Insya-ALLAH, kita sama-sama sebagai satu pasukan dapat mengharunginya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!