Subsidi upah rendah: Risiko majikan gulung tikar, buang pekerja
SHAH ALAM - Program Subsidi Upah iaitu bantuan kerajaan kepada majikan untuk pembayaran gaji pekerja dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih pada nilai yang sangat rendah untuk menjamin kestabilan operasi sesebuah syarikat seterusnya akan memberi risiko pembuangan pekerja.
Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, peruntukan sebanyak RM5.9 bilion untuk tempoh tiga bulan itu hanya merangkumi 7 peratus daripada jumlah pembayaran gaji pekerja swasta setiap bulan.
Menurutnya, jumlah subsidi itu jauh berbeza daripada beberapa negara luar yang memberi subsidi gaji berjumlah sekurang-kurangnya 70 peratus.
"Jumlah subsidi gaji yang diberikan adalah RM5.9 bilion untuk tiga bulan. Kalau kita bahagikan, kita ada RM1.95 bilion setiap bulan, berbanding dengan RM27.5 bilion gaji sektor swasta untuk sebulan, bermakna jumlah subsidi berkenaan adalah kira-kira 7 peratus sahaja.
"Sudah tentu ia tidak mencukupi..di negara luar, mereka berikan subsidi sehingga 70 peratus..di United Kingdom mereka memberi sehingga 80 peratus, Perancis dan Kanada, 75 peratus. Jadi kita merasakan seolah-olah tidak ada kesungguhan daripada pihak kerajaan untuk membantu rakyat untuk membantu swasta mengekalkan pekerjaan.
"Apa yang dikhuatiri adalah kalau tidak ada rangsangan yang mencukupi, majikan khususnya majikan industri perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terpaksa ambil jalan gulung tikar dan bila ini berlaku sudah tentu akan menjejaskan pekerjaan dan akan mengambil masa lama untuk kita baik pulih keadaan ekonomi terutamanya jika PKP dilanjutkan," katanya.
Beliau berkata demikian selaku panelis Wacana Siri 162 bertajuk Ekonomi Malaysia selepas 14 April yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian malam ini.
Wacana tersebut turut dibarisi panelis, Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Profesor Dr Jamal Othman dengan Azlan Shah Nabees Khan sebagai moderator.
Shamsuddin berkata, moratarium pembayaran pinjaman bank juga tidak begitu membantu majikan kerana masih ada kos faedah bank yang perlu ditanggung sebaliknya industri mengharapkan penangguhan dibuat sepenuhnya.
Justeru katanya, kos untuk memastikan peluang pekerjaan dapat diteruskan harus ditanggung bersama oleh pihak majikan, pekerja dan kerajaan sendiri kerana tidak adil kepada majikan sekiranya majikan dipaksa untuk membayar gaji penuh semasa PKP.
"MEF mencadangkan pada masa ini syarikat sekurang-kurangnya hendaklah membayar 50 peratus daripada gaji pekerja semasa PKP dan pekerja boleh mengambil cuti tahunan atau cuti tanpa gaji.
"Kerajaan sendiri haruslah dapat berikan insentif yang lebih besar kepada para majikan dan pekerja supaya mereka boleh terus berada di alam pekerjaan.
"70 peratus daripada gaji dibayar sebagai subsidi kepada majikan supaya majikan-majikan ini terutamanya industri PKS dapat terus bertahan dan pada akhirnya tiada siapa yang rugi apabila pekerjaan dapat diteruskan dan ekonomi akan berkembang," katanya.
Beliau pada masa sama juga menyarankan agar kerajaan memanjangkan tempoh pakej rangsangan ekonomi dengan dan tidak hanya menumpukan bantuan secara one-off.
"Bayaran one-off ini saya rasakan tidak mencukupi dan kita sedang hadapi keadaan luar biasa namun rangsangannya seperti biasa, tentu ia tidak akan berjaya.
"Ini kerana kesan daripada apa yang berlaku pada masa ini mungkin sehingga hujung tahun. Itu saya rasa adalah amat optimistik.
"Tapi ramai menyatakan kesannya akan masih terasa sehinggalah tahun depan, jadi pakej rangsangan ekonomi itu perlu lebih besar dan lebih lama untuk lebih berkesan dalam menangani isu yang kita hadapi sekarang ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!