'Pemain bukan mesin': Ferrero

Serie A perlu dibatalkan demi keselamatan pemain dan penyokong.
Serie A perlu dibatalkan demi keselamatan pemain dan penyokong.
A
A
A

PRESIDEN kelab bola sepak Sampdoria, Massimo Ferrero mahu pentadbir Liga Itali, Serie A membuat keputusan mengenai saingan liga itu sama ada akan dibatalkan ataupun tidak.

Menurutnya, perdebatan antara presiden kelab itu mengenai liga masih belum mencapai kata putus dan beliau secara peribadi mahu saingan musim ini dibatalkan demi keselamatan pemain dan penonton.

Ferrero menjelaskan amat sukar untuk mencapai kata sepakat kerana presiden kelab yang lain lebih mengutamakan kepentingan kelab masing-masing.

Malah, kelab-kelab tersebut juga dilaporkan berbeza pendapat dengan ada kelab yang mahu liga dibatalkan dan sesetengah lagi mahu ia diselesaikan seperti biasa.

"20 pasukan Serie A bakal menjadi penentu keputusan tersebut. Kami menghabiskan berjam-jam dalam persidangan video setiap hari tetapi masih belum menemui jalan penyelesaian.

"Semua pasukan menyuarakan kepentingan pasukan masing-masing. Ada yang tidak mahu tersingkir ke liga bawah, ada yang setuju untuk terus bermain dan ada pasukan yang masih mahu mencabar kejuaraan liga dalam keadaan ketika ini," katanya.

Sebelum ini, Itali menangguhkan semua acara sukan di negara itu termasuk Serie A selepas dilanda wabak koronavirus (Covid-19).

Dalam pada itu, Ferrero turut mengecam hasrat segelintir presiden kelab dalam saingan liga itu yang ingin Serie A diteruskan walaupun wabak Covid-19 di negara tersebut masih belum reda.

Artikel Berkaitan:

"Bayangkan saya mahu menyuruh pemain saya Manolo Gabbiadini yang sebelum ini dijangkiti Covid-19 dan baru pulih, kemudiannya saya mahu dia bermain di bulan Mei.

"Itu tidak patut. Dia bukan mesin yang boleh dimatikan dan dihidupkan. Dimana otak anda? Bagaimana pula dengan penonton?Mahu mereka memakai topeng sepanjang perlawanan?," ujarnya.

Itali menjadi negara paling terkesan wabak Covid-19 dengan 115,242 kes positif dan 13,915 kematian direkodkan setakat ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!